KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada 36 warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan militan di Malaysia kini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata beberapa individu masih dalam tahanan bagi membantu siasatan lanjut berhubung rangkaian militan tersebut.
“Setakat ini kita menahan 36 warga asing iaitu Bangladesh... ada yang kita simpan dan kita tahan di bawah Sosma.
“Selebihnya kita telah usir keluar dan beberapa lagi masih lagi dalam tahanan serta memerlukan siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sini pada 30 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurutnya, satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan secara terperinci hasil siasatan dan status kesemua individu terbabit.
“Esok atau lusa saya akan panggil sidang akhbar untuk kita semua menjelaskan kedudukan perkara yang sebenar,” katanya.
Pada 27 Jun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menumpaskan satu rangkaian militan warga asing, dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi pengganasan.
Beliau berkata penahanan dibuat menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April, membabitkan lima individu yang sudah didakwa di mahkamah, 15 diusir pulang, manakala 16 lagi masih disiasat berhubung pembabitan mereka dalam gerakan berkenaan.
Hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas PDRM mendapati kumpulan berkenaan telah membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Isis ke dalam negara itu.
Datuk Saifuddin berkata kumpulan itu turut dikesan mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan masyarakat mereka bagi tujuan indoktrinasi fahaman radikal, mengumpul dana untuk kegiatan pengganasan dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.
“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif bagi mana-mana gerakan pelampau asing.
“Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana anasir yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Kejayaan ini juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan Malaysia khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam,” tegasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg