Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PDRM tumpaskan rangkaian militan warga asing, tahan 36 warga Bangladesh

Jun 27, 2025 | 6:39 PM
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto FACEBOOK SAIFUDDIN NASUTION

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi pengganasan.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penahanan dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu.

Beliau berkata dalam operasi tersebut, lima daripada mereka telah dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah pun didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam (Selangor) dan Johor Bahru.

“Seramai 15 individu lagi telah dikenakan perintah pengusiran, manakala 16 individu sedang disiasat lanjut terkait penglibatan mereka dalam gerakan militan ini.

“Hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas PDRM mendapati bahawa kumpulan ini membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Jun.

Datuk Saifuddin Nasution berkata kumpulan itu turut dikesan mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan masyarakat mereka bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti pengganasan dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.

“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif bagi mana-mana gerakan ekstremis asing.

“Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang bole mengancam keselamatan negara.

“Kejayaan ini juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan Malaysia khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam,” tegasnya.

Datuk Saifuddin Nasution juga ulangi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan menggandakan penguatkuasaan, serta bekerjasama dengan agensi keselamatan dalam dan luar negara untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan bebas daripada ancaman keganasan.

“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg