PUTRAJAYA: Ketua Polis Malaysia yang baru, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, menafikan beliau terbabit dengan mana-mana parti politik sepanjang 38 tahun berada dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang baru dilantik pada 20 Jun berkata pihak media yang didakwa melakukan kesilapan mengaitkannya dengan parti politik itu juga sudah memohon untuk mengadakan pertemuan dengannya.
“Saya menerima (isu ini) dengan hati yang terbuka, insya-Allah pihak akhbar yang berkenaan sudah memohon untuk bertemu dengan saya dan saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat ini.
“Kami akan berbincang, mendengar pandangan, memberi apa yang patut kita laksanakan di masa-masa akan datang. Selama 38 tahun saya di dalam pasukan PDRM, saya tidak pernah terbabit dalam mana-mana parti politik,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 23 Jun.
Sebelum ini, satu infografik yang memaparkan latar belakang Datuk Mohd Khalid disiarkan di media sosial dan menimbulkan kekeliruan mengenai pembabitannya dalam politik.
Berikutan itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh, turut mengesahkan bahawa Datuk Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli PKR, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti berkenaan.
Portal tempatan itu juga sudah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan maklumat yang disiarkan di Instagram mereka.
Mengulas lanjut, Datuk Mohd Khalid berharap supaya semua media memainkan peranan memberikan laporan yang terbaik dan sempurna serta tidak bercanggah dengan fakta sebenar.
“Saya berharap hubungan yang rapat perlu diteruskan antara polis dengan wartawan semua, kerana ia menjadi pokok utama untuk kita memberikan laporan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, Datuk Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Malaysia secara kontrak selama dua tahun, berkuat kuasa 23 Jun 2025 sehingga 22 Jun 2027.
Pelantikan selama dua tahun itu diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Datuk Mohd Khalid, 60 tahun, menggalas jawatan sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025, namun perkhidmatannya disambung secara kontrak sehingga kini.
Beliau menggantikan Tan Sri Razarudin Husain, yang menyertai PDRM pada 1982, dilantik sebagai Ketua Polis Malaysia ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg