Topik diikuti
Pergi ke BHkuKegiatan PN digantung susulan aduan Bersatu jelang PRN Melaka
Kegiatan PN digantung susulan aduan Bersatu jelang PRN Melaka
Ketika Perikatan Nasional (PN) sedang bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, kegiatan gabungan politik itu digantung sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkuat kuasa 23 September.
Tindakan penggantungan itu dibuat RoS berikutan aduan yang dikemukakan oleh satu komponen gabungan pembangkang – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), antaranya berkait kedudukan parti itu dalam PN.
Dalam satu kenyataan pada 24 September, RoS berkata pihaknya mengeluarkan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September lalu, dengan tempoh munasabah diberikan kepada PN agar mengemukakan penjelasan berkait aduan Bersatu.
Jabatan itu bagaimanapun menegaskan notis berkenaan bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya hanya bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang dilaporkan Bersatu kepada RoS.
“Perintah penggantungan ini bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya,” jelas RoS dalam kenyataan.
RoS pada 11 Julai lalu, mengesahkan telah menerima aduan rasmi daripada Bersatu, antaranya terkait dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu dan isu status keanggotaannya dalam gabungan pembangkang.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam satu kenyataan pada 24 September mengesahkan menerima dua notis daripada RoS, bagi maksud RoS hendak membatalkan pendaftaran PN selepas tempoh tunjuk sebab daripada PN iaitu 30 hari dan menggantung semua kegiatan PN sehingga tarikh yang tidak ditentukan.
Datuk Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS) berkata PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap gabungan itu adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN.
Menurutnya, kededua notis dan perintah itu diserahkan kepada PN secara berturut-turut pada 22 dan 23 September 2026, iaitu pada hari pengumuman dan kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri dalam waktu terdekat.
Menurut beliau, PN tidak bersetuju dengan asas keputusan penggantungan tersebut dan sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangan PN yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya.
“Sehubungan itu PN menyeru ahli-ahli dan penyokongnya agar bertenang kerana perkara ini sedang diuruskan dengan sebaiknya dan PN akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
“Sekali gus dengan ini PN mengeluarkan perintah larangan (gag order) berkuat kuasa serta-merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi pihak PN, kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN,” katanya dalam kenyataan.
Kedudukan Bersatu dalam PN tidak menentu selepas PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan parti itu pada 8 Jun lalu, menyusuli pelbagai ketegangan antara dua parti itu dalam beberapa isu.
Antaranya termasuk PAS mendakwa Bersatu khianat dalam polemik politik di Perlis, apabila berlakunya peralihan jawatan Menteri Besar daripada PAS kepada Bersatu dan keengganan Bersatu menolak usaha mengukuhkan PN apabila enggan menerima penyertaan parti politik baru, termasuk gerakan yang diketuai mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai lalu, PAS tidak lagi membantu jentera kempen Bersatu, sementara di PRN Negeri Sembilan, Bersatu bertanding solo menggunakan logo sendiri selepas PAS membentuk persefahaman dengan Barisan Nasional (BN).
Selain PAS dan Bersatu, PN turut dianggotai Parti Wawasan Negara (Wawasan); Parti Gerakan Rakyat (Gerakan); Parti Rakyat India Malaysia (MIPP); dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).