Keputusan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sekadar memutuskan hubungan dua parti yang terbina sejak 2020.

Lebih daripada itu, ia mengubah keseimbangan kuasa dalam Perikatan Nasional (PN), menobatkan PAS sebagai kuasa paling dominan dalam gabungan tersebut.

Melihat landskap politik semasa, penganalisis berpandangan sokongan kuat parti komponen PN terhadap Gerakan Reset diterajui mantan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dipecat pada 13 Februari lalu, menunjukkan hampir pasti PAS akan mengekalkan penguasaannya menerajui PN dengan kerjasama politik baru.

Penganalisis politik merangkap Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Penganalisis politik merangkap Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid. - Foto ihsan AHMAD FAUZI ABDUL HAMID

Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berkata perpecahan PAS-Bersatu meletakkan PAS dalam kedudukan lebih kukuh untuk menguasai PN, manakala Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan masa depan yang semakin kelam.

Beliau berkata kehilangan PAS akan memberi kesan besar kepada Bersatu kerana parti itu selama ini banyak bergantung kepada kekuatan akar umbi PAS dalam menghadapi pilihan raya, dengan yang paling hampir ialah Pilihan Raya Negeri ke-16 Johor dan Negeri Sembilan pada Julai dan Ogos ini.

“Bersatu akan tinggal minoriti dalam kalangan Ahli Parlimen (AP) dan kehilangan kekuatan jentera akar umbi yang selama ini banyak disumbangkan oleh PAS.

“Dalam kebanyakan pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil, negeri atau umum, kerja-kerja di lapangan seperti memasang bendera, poster dan menggerakkan jentera banyak dilakukan oleh akar umbi PAS. Bersatu tidak mempunyai kekuatan itu,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurut beliau, walaupun Bersatu sebelum ini memainkan peranan menyediakan sumber kewangan dan logistik, kekuatan sebenar di peringkat akar umbi banyak bergantung kepada PAS.

PAS LEBIH LAYAK TERAJUI PN?

Mengulas persoalan siapa yang lebih layak menerajui PN selepas perpecahan itu, Profesor Dr Ahmad Fauzi berkata perkembangan semasa menunjukkan PAS mempunyai kedudukan yang lebih kukuh untuk terus menguasai gabungan pembangkang tersebut.

Beliau berkata selain jawatan Pengerusi PN kini disandang Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, beberapa kenyataan pemimpin PAS juga menunjukkan parti itu yakin kedudukannya dalam gabungan tersebut dilindungi oleh Perlembagaan PN.

“Saya tidak pasti secara terperinci bagaimana Perlembagaan PN, tetapi daripada kenyataan PAS, agak jelas mereka percaya peruntukan Perlembagaan gabungan dan sokongan parti komponen lain seperti Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan Parti Rakyat India Malaysia (Mipp) memihak kepada mereka.

“Berdasarkan keadaan sekarang, PAS berada dalam kedudukan lebih kuat untuk menguasai PN,” katanya.

Difahamkan, mengikut Perlembagaan PN, perpecahan atau krisis antara parti komponen perlu diselesaikan melalui mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan, bukan secara sepihak.

Mana-mana parti yang didapati melanggar perlembagaan atau muafakat asal boleh dipecat melalui undi majoriti dua pertiga ahli Majlis Tertinggi.

Beliau turut melihat gesaan 13 AP Bersatu supaya parti itu keluar atau dikeluarkan daripada PN sebagai petanda Gerakan Reset pimpinan Datuk Hamzah dijangka kekal bersama PAS dalam gabungan itu.

“Isyaratnya jelas bahawa kumpulan Datuk Hamzah mahu terus berada dalam orbit politik PAS dan PN.

“Jika itu berlaku, ruang akan terbuka kepada kem Datuk Hamzah untuk menyertai PN selepas Konvensyen Reset,” katanya.

Konvensyen Reset akan dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 13 Jun di Kelantan.

Ini mengukuhkan isyarat penolakan PAS terhadap Bersatu dan memilih Reset.

Selain PAS, gerakan Reset Datuk Hamzah turut menerima sokongan baik parti komponen PN lain.

BERSATU MUNGKIN KEMBALI KEPADA PH?

Dalam masa sama, Profesor Dr Ahmad Fauzi tidak menolak kemungkinan Bersatu mencari pakatan politik baru, termasuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), walaupun dinafikan kededua blok politik ini.

Beliau berkata tanpa PAS dan PN, Bersatu berdepan risiko menjadi parti kecil yang sukar bersaing dalam pilihan raya.

“Kalau Bersatu bergerak solo, kemudian berdepan BN dan gabungan PAS-Reset, undi Melayu akan berpecah dan Bersatu tidak akan memperoleh sokongan yang pernah dinikmati sebelum ini.

“Jadi, Bersatu perlu mencari gabungan yang lebih besar dan PH adalah antara pilihan yang mungkin dipertimbangkan,” katanya.

Menurut beliau, walaupun hubungan Bersatu dan PH pernah retak selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020, kerjasama politik tetap tidak mustahil berlaku sekiranya kedua-dua pihak melihat manfaat strategik.

“PH memerlukan undi Melayu dan Bersatu pernah menyumbang jumlah undi Melayu yang signifikan kepada PH sebelum ini.

“Namun kedua-dua pihak tetap berdepan risiko kerana sebahagian penyokong Melayu Bersatu mungkin tidak selesa untuk kembali berada dalam gabungan yang turut dianggotai DAP,” katanya.

TAMPARAN BESAR BUAT MUHYIDDIN

Profesor Dr Ahmad Fauzi juga berkata perkembangan semasa Bersatu yang ibarat jatuh ditimpa tangga sebagai tamparan besar kepada kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin, yang juga mantan Perdana Menteri.

Beliau berkata kemelut yang berlaku mungkin dapat dielakkan sekiranya Tan Sri Muhyiddin meneruskan hasrat asal untuk berundur daripada kepimpinan Bersatu sebagaimana pernah dibayangkan sebelum ini.

“Ramai menjangkakan beliau akan berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada Datuk Hamzah untuk memimpin Bersatu.

“Namun perkara itu tidak berlaku dan akhirnya membawa kepada konflik yang lebih besar dalam parti,” katanya.

Pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Cik Shahidah Abdul Razak.  
Pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Cik Shahidah Abdul Razak.   - Foto ihsan SHAHIDAH ABDUL RAZAK

Sementara itu, pemerhati politik, Cik Shahidah Abdul Razak, bersetuju bahawa PAS berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding Bersatu untuk terus menerajui PN, mengambil kira kekuatan organisasi, rangkaian akar umbi serta pengaruh yang dibinanya sejak sekian lama.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara itu berkata faktor tersebut menjadikan PAS lebih berdaya tahan dalam menghadapi perubahan landskap politik berbanding Bersatu yang masih bergantung kepada kekuatan kepimpinan dan keupayaan membina pakatan politik.

“Situasi politik ketika ini sedikit berbeza dan setiap parti mempunyai hala tuju masing-masing selepas mereka sah ‘bercerai’,” katanya kepada BH.

Cik Shahidah berkata kepimpinan dalam sesebuah gabungan lazimnya ditentukan berdasarkan kekuatan elektoral, keupayaan organisasi dan sumbangan kepada gabungan.

“Berdasarkan faktor tersebut, PAS mempunyai asas yang lebih kukuh untuk menerajui PN sekiranya gabungan itu terus wujud.

“Ada ketikanya sesetengah parti perlu membelakangkan ego masing-masing dan membina persefahaman.

“Ciri ini perlu ada pada pemimpin yang dipilih untuk menerajui gabungan,” katanya.

Melihat sejarah kerjasama PAS dengan beberapa parti politik dan gabungan sebelum ini yang tidak pernah kekal, timbul dakwaan PAS tidak sesuai dijadikan rakan kerjasama politik.

Mengulas perkara itu, Cik Shahidah berkata pandangan itu tidak wajar disandarkan kepada satu pihak sahaja, kerana kestabilan gabungan bergantung kepada keserasian ideologi dan perkongsian kuasa antara semua parti.

“PAS mempunyai identiti ideologi yang kuat, namun rakan gabungan juga mempunyai agenda politik masing-masing yang kadangkala bertembung,” katanya.

Dalam pada itu, Cik Shahidah turut mengingatkan bahawa krisis yang berlaku dalam PN ketika ini boleh memberi kesan terhadap keyakinan sebahagian pengundi Melayu/Islam terutama dalam mendepani pilihan raya yang terdekat.

Katanya, pengundi dan penyokong sebelum ini melihat gabungan itu sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.

“Ketika pilihan raya lalu, PN diberikan kepercayaan dalam keadaan politik yang tidak menentu.

“Namun krisis dalaman yang berlaku ketika ini boleh menimbulkan keraguan terhadap kemampuan gabungan itu untuk mentadbir secara berkesan,” katanya.

“Saya tidak pasti secara terperinci bagaimana Perlembagaan Perikatan Nasional (PN), tetapi daripada kenyataan Parti Islam SeMalaysia (PAS), agak jelas mereka percaya peruntukan Perlembagaan gabungan dan sokongan parti komponen lain seperti Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan Parti Rakyat India Malaysia (Mipp) memihak kepada mereka. Berdasarkan keadaan sekarang, PAS berada dalam kedudukan lebih kuat untuk menguasai PN.”
Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, penganalisis politik merangkap Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM).

“... Parti Islam SeMalaysia (PAS) mempunyai asas yang lebih kukuh untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungan itu terus wujud. Ada ketikanya sesetengah parti perlu membelakangkan ego masing-masing dan membina persefahaman. Ciri ini perlu ada pada pemimpin yang dipilih untuk menerajui gabungan.”
Cik Shahidah Abdul Razak, pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara.