Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakatan PAS - Bersatu retak menanti belah
Pakatan PAS - Bersatu retak menanti belah
Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap tindakan Bersatu, papar rasa tidak puas hati dan kepercayaan rakan pakatan yang kian terhakis
Pakatan PAS - Bersatu retak menanti belah
Kenyataan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini, mencerminkan hubungan antara dua tunjang utama dalam gabungan pembangkang itu kini memasuki fasa paling rapuh sejak Perikatan Nasional (PN) dibentuk.
Pemerhati politik melihat pengakuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa kesabaran partinya terhadap beberapa tindakan Bersatu yang didakwa melanggar semangat setiakawan sudah melebihi had, menyerlahkan rasa tidak puas hati dan kepercayaan rakan pakatan itu yang semakin terhakis.
Pemerhati politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud, berkata ketegangan antara PAS dan Bersatu disifatkan retak menanti belah dan berpotensi membawa kepada perpecahan dalam PN pada bila-bila masa.
Beliau berkata perkembangan mutakhir membabitkan PAS dan Bersatu, menunjukkan simptom sama seperti yang pernah berlaku ketika PAS berpisah dengan Pakatan Rakyat pada 2015.
Pakatan Rakyat pernah ditubuhkan pada 2008 dan dianggotai PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Tindakan Demokratik (DAP).
PKR dan DAP kini adalah dua komponen utama yang membentuk gabungan politik, dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH).
“Saya melihat hubungan Bersatu dan PAS ini tidak dapat diselamatkan lagi, ditambah krisis politik di Perlis dan Negeri Sembilan.
“Simptom ini sama berlaku seperti ketika PAS berpisah dengan Pakatan Rakyat. Jadi keadaan sama dijangka berlaku dalam PN,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Krisis politik di Perlis pada Disember 2025 menyaksikan PAS menuduh Bersatu khianat apabila berlakunya pertukaran Menteri Besar daripada PAS kepada Bersatu.
Namun, Bersatu menafikan tuduhan itu dengan menegaskan keputusan menerima jawatan Menteri Besar adalah bagi menghormati perintah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Tan Sri Abdul Hadi juga memetik krisis politik di Negeri Sembilan sebagai satu lagi tindakan Bersatu yang tidak disenangi apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu secara terbuka mengambil pendirian berkecuali dalam isu menarik sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ahli Parlimen (AP) Marang itu menyifatkan tindakan dua Adun Bersatu itu tidak boleh diterima.
Krisis politik Negeri Sembilan itu berlaku berikutan Umno yang memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, menarik balik sokongan terhadap Datuk Aminuddin, yang juga Naib Presiden PKR pada April lalu, menyusuli krisis adat dan raja di negeri itu yang berlarutan.
PAS MAHU JADI ‘ABANG BESAR’
Dr Wan Mohd Nazri juga berkata PAS dilihat mahu memainkan peranan sebagai ‘abang besar’ dalam PN sejak blok politik itu diketuai Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi, menggantikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan pada 1 Januari lalu.
Beliau berpandangan PAS sedang mencari alasan menjarakkan diri daripada Bersatu, sebagai jalan memudahkan kerjasama parti itu dengan gerakan mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat pada Februari lalu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas kemampuan PAS andai parti itu tekad bergerak sendiri tanpa Bersatu pada pilihan raya tidak lama lagi, Dr Wan Mohd Nazri, berkata PAS sememangnya mempunyai kekuatan akar umbi untuk bergerak solo, namun masih memerlukan sokongan parti lain bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pendekatan politik PAS yang dilihat ekstrem Islamik menyebabkan parti itu sukar menembusi kawasan bandar dan pengundi pelbagai kaum.
“PAS memang mampu bergerak sendiri dengan kekuatan akar umbi yang dimiliki parti itu.
“Tetapi untuk memenangi pengundi di seluruh Malaysia dan membentuk kerajaan, PAS tetap memerlukan sokongan pihak lain kerana kerusi bandar, kawasan bercampur serta Sabah dan Sarawak, sukar ditembusi parti itu,” katanya.
Beliau menambah faktor itu juga menyebabkan PAS dilihat cenderung mahu menjalin kerjasama dengan gerakan politik dikaitkan dengan Datuk Hamzah bagi menarik sokongan pengundi bandar.
Dr Wan Mohd Nazri menjelaskan konflik memuncak apabila Bersatu dikatakan membantah penyertaan parti politik baru ke dalam PN, sekali gus menggagalkan cubaan membawa masuk Datuk Hamzah, yang juga mantan Ketua Pembangkang kembali bersama PN.
Ia jelas apabila Tan Sri Abdul Hadi menyenaraikan tindakan pemecatan dan penggantungan keahlian beramai-ramai pemimpin Bersatu sebagai antara sebab yang akan menjejas kekuatan PN, terutama dalam mendepani pilihan raya akan datang.
KRISIS LEMAHKAN BERSATU
Dr Wan Mohd Nazri juga berpandangan dalam krisis ini, Bersatu bakal menjadi pihak paling terkesan sekiranya kerjasama PAS - Bersatu benar-benar berakhir, memandangkan parti itu banyak bergantung kepada kekuatan jentera PAS.
“Saya melihat paling rugi ialah Bersatu sebab mereka tidak ada akar umbi yang kuat. Tetapi dalam dunia politik milenial sekarang, gerak kerja akar umbi tidak lagi terlalu dominan kerana media sosial juga memainkan peranan besar,” katanya.
Mengulas kesan konflik itu terhadap landskap politik negara, Dr Wan Mohd Nazri berkata ketegangan dalam PN berpotensi memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno, yang disifatkannya sebagai blok politik paling stabil ketika ini.
Katanya, walaupun parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk PKR pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berdepan pelbagai masalah dalaman, BN dilihat ‘paling kurang bermasalah’ berbanding gabungan lain.
Dalam pada itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan Bersatu mempertimbangkan kerjasama dengan PH sekiranya parti itu disingkirkan daripada PN, walaupun spekulasi itu telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Bersatu.
“Tiada yang mustahil kerana dalam politik, ‘the enemy of my enemy is my friend’ (musuh kepada musuh saya ialah kawan saya),” katanya.
Mengulas penyelesaian terbaik terhadap kemelut itu, beliau berpandangan perpisahan mungkin sukar dielakkan berdasarkan corak sejarah politik PAS.
“Kalau ikut ragam PAS, apabila mereka sudah tidak selesa, sukar untuk dipujuk semula. Apatah lagi kenyataan dikeluarkan Tan Sri Abdul Hadi, tiada siapa yang boleh membangkang waima Pengerusi PN sekali pun,” katanya.
“Berdasarkan pola sejarah kerjasama PAS dengan pelbagai gabungan sebelum ini dan kenyataan Tan Sri Abdul Hadi bahawa PAS sudah lama bersabar, saya nampak PAS memang sudah tidak mahu meneruskan kerjasama dengan Bersatu,” katanya.
Walaupun blok pembangkang dilihat berdepan cabaran terbesar ketika ini, Dr Wan Mohd Nazri tidak melihat ia satu kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan dan gabungan politik dipimpin Datuk Anwar, memandangkan PKR dan PH sendiri berdepan konflik dalaman.
Langkah mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan mantan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, meninggalkan parti itu dan menerajui Parti Bersama Malaysia (Bersama) bermula 19 Mei lalu, dilihat meninggalkan tamparan kepada Datuk Anwar untuk memulihkan keyakinan terhadap parti diasaskannya itu.
Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata ketegangan dalam pembangkang tidak mewujudkan kelebihan besar untuk Datuk Anwar membubarkan Parlimen ketika ini, sekali gus membolehkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal sebelum tempoh penggal berakhir pada Februari 2028.
TIADA KELEBIHAN BUAT KERAJAAN
“Walaupun ada pandangan bahawa ini masa sesuai untuk Datuk Anwar memanggil PRU16, saya tidak melihat ia memberi kelebihan jelas kepada mana-mana blok termasuk kerajaan.
“Isu dalaman PH dan PKR turut memberi cabaran tersendiri kepada kerajaan untuk memanfaatkan situasi semasa pembangkang,” katanya kepada BH.
Profesor Dr Azmi yang juga Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, turut bersetuju, krisis PAS - Bersatu memuncak selepas keengganan Bersatu menerima parti politik baru termasuk diterajui Datuk Hamzah menyertai PN.
Tan Sri Abdul Hadi memberi alasan bantahan Bersatu itu bercanggah dengan prinsip mengukuhkan sokongan terhadap PN menerusi penyertaan parti politik baharu.
Beliau berkata walaupun Tan Sri Muhyiddin sebelum ini telah memberi laluan kepada pelantikan Datuk Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang, PAS masih tidak berpuas hati kerana mahukan peranan lebih besar untuk kem tertentu pilihannya berada dalam gabungan itu.
“PAS masih tidak puas hati kerana mereka tetap mahukan Datuk Hamzah berada dalam PN. Berbanding Bersatu, kumpulan Datuk Hamzah ini dilihat oleh PAS boleh memberi kekuatan lebih besar kepada PN,” katanya kepada BH.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan Tan Sri Abdul Hadi bersuara secara terbuka terhadap Bersatu kerana wujud perbezaan pandangan mengenai hala tuju gabungan tersebut.
Katanya, PAS dilihat lebih cenderung untuk melihat kemasukan Datuk Hamzah ke dalam PN walaupun ia boleh memberi kesan kepada kedudukan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
“Dalam hal ini, PAS seolah-olah lebih rela Bersatu diketepikan daripada PN dan membenarkan Datuk Hamzah menyertai gabungan itu kerana mereka percaya ia akan menguatkan PN sebagai pembangkang,” katanya lagi.
Beliau menambah keadaan itu memperlihatkan matlamat akhir PAS adalah memperkukuh PN melalui sokongan tokoh tertentu, meskipun ia berpotensi mengubah keseimbangan kuasa sedia ada dalam gabungan itu.
Dalam masa sama, Profesor Dr Azmi berpandangan Bersatu berisiko lebih lemah sekiranya tidak lagi berada dalam PN kerana kekuatan parti itu banyak bergantung kepada sokongan rakan gabungan.
“Tanpa PAS dan PN, Bersatu akan terumbang-ambing dan menjadi lebih lemah sebagai parti politik,” katanya.
“
“Walaupun ada pandangan bahawa ini masa sesuai untuk Datuk Anwar memanggil PRU16, saya tidak melihat ia memberi kelebihan jelas kepada mana-mana blok termasuk kerajaan. Isu dalaman PH dan PKR turut memberi cabaran tersendiri kepada kerajaan untuk memanfaatkan situasi semasa pembangkang.”“
“Saya melihat hubungan Bersatu dan PAS ini tidak dapat diselamatkan lagi, ditambah dengan krisis politik di Perlis dan Negeri Sembilan. Simptom ini sama berlaku seperti ketika PAS berpisah dengan Pakatan Rakyat. Jadi keadaan sama dijangka berlaku dalam PN.”