Topik diikuti
Pergi ke BHkuKekalahan hatrik dalam tiga PRN, apa Anwar perlu lakukan?
Penganalisis: Tiga punca utama kekalahan Pakatan Harapan ialah gagal tembusi segmen pengundi Melayu, tarik pengundi baharu dan bina naratif kempen meyakinkan
Kekalahan hatrik dalam tiga PRN, apa Anwar perlu lakukan?
Kegagalan menembusi segmen pengundi Melayu dilihat menjadi ancaman terbesar kepada kelangsungan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH), yang jika tidak ditangani, berisiko menyaksikan gabungan itu terus berdepan siri kekalahan dalam pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang, menurut penganalisis politik.
Pensyarah Pengajian Dasar di Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata tiga punca utama kekalahan parti pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ialah kegagalan menembusi segmen pengundi Melayu, menarik pengundi baharu serta membina naratif kempen yang mampu meyakinkan pengundi.
Malah, katanya, kelemahan sama turut ditunjukkan PH dalam PRN Johor pada Julai dan Negeri Sembilan pada Ogos lalu, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan rakan pakatannya, Perikatan Nasional (PN), mencatat prestasi lebih baik.
Beliau berkata PH berdepan risiko besar untuk gagal membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU16, sekiranya kelemahan berkenaan tidak segera ditangani, jika diambil kira jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia yang mempunyai komposisi pengundi Melayu yang besar.
“Justeru, menuju PRU16, mahu tidak mahu, PH perlu cuba mendapatkan segmen pengundi Melayu dan pengundi baharu. Buat masa sekarang, ancaman paling besar buat PH adalah segmen Melayu.
“Tanpa sokongan segmen Melayu, PH akan menghadapi risiko besar di 135 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar,” katanya kepada Berita Harian (BH), mengulas kegagalan PH menyaingi kerjasama BN-PN dalam PRN Melaka.
PRU16 mesti diadakan selewat-lewatnya sebelum Februari 2028.
Pada PRN Melaka ke-16, 14 November lalu, PH yang bertanding di 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan saja gagal merampas pentadbiran negeri itu daripada BN dan PN.
Malah, PH menerusi satu daripada tiga komponennya, Parti Amanah Negara (Amanah), juga gagal mempertahankan satu kerusi yang dipegang calon Melayu iaitu DUN Bukit Katil.
Ia selepas penyandangnya selama dua penggal, iaitu Pengerusi PH Melaka, Encik Adly Zahari, tewas di tangan calon PN daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, dalam pertandingan empat penjuru.
PH hanya berjaya mempertahankan empat daripada lima kerusi yang dimenangi pada PRN ke-15, pada 2021, yang semuanya disandang Parti Tindakan Demokratik (DAP).
BN pula, yang bekerjasama dengan PN menerusi pembahagian kerusi pada PRN Melaka kali ini, mencipta kemenangan bergaya apabila menambah penguasaan kepada 24 kerusi berbanding 21 kerusi pada PRN 2021, sekali gus memperoleh majoriti untuk membentuk Kerajaan Negeri yang baru.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara dengan lonjakan majoriti sehingga lebih 5,000 undi menewaskan calon PH, Encik Mohd Yunazri Mustamiri, telah selamat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka buat penggal kedua, pada 15 November.
Selain PH dan BN-PN, PRN Melaka ke-16 turut disertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang bertanding 16 kerusi; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (tujuh); Parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan tiga calon Bebas, yang semuanya gagal memenangi sebarang kerusi.
Mengulas lanjut, Dr Yusri berkata antara faktor yang menyukarkan PH mendapatkan sokongan pengundi Melayu ialah persepsi bahawa gabungan itu mengancam kedudukan istimewa orang Melayu serta kesucian Islam, yang masih belum berjaya ditangani secara tuntas.
Katanya, politik identiti dan persepsi memainkan peranan penting dalam menentukan kecenderungan pengundi, justeru PH perlu menangani tanggapan berkenaan jika mahu memperluas sokongan dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Politik ini adalah perang persepsi. Siapa yang menang persepsi, mereka akan menang undi.
“Apa yang PH kalah ialah tentang identiti Melayu itu kerana PH dilihat seolah-olah mengancam keistimewaan orang Melayu dan kesucian Islam.
“Momokan ini perlu diselesaikan menjelang PRU16,” kata Ketua Penyelidik badan pemikir bebas, Ilham Centre, itu.
Selain itu, PH katanya turut gagal menarik imaginasi pengundi muda, meskipun kelompok berkenaan lebih dinamik dan tidak semestinya terlalu terikat dengan politik identiti.
Menurutnya, kegagalan mendapatkan sokongan pengundi baharu menunjukkan PH masih belum berjaya mencipta daya tarikan dan naratif yang mampu meyakinkan kelompok di luar penyokong tradisionalnya.
Mengenai keputusan PRN Melaka yang tidak memihak kepada PH, Dr Yusri berkata undi teras PH sebenarnya tidak menunjukkan perubahan ketara, sebaliknya kekalahan gabungan itu lebih berpunca daripada kegagalan mendapatkan sokongan baharu, ketika BN dan PN berjaya menggabungkan kekuatan masing-masing.
“Pengundi PH masih konsisten mengundi PH. Cuma kegagalan PH adalah untuk memperoleh segmen penyokong dan pengundi baharu.
“Apabila BN dan PN bersatu, secara automatik undi kedua-dua pihak undi melimpah, menyebabkan PH ketinggalan kerana tidak mempunyai penyokong baharu,” katanya.
Dr Yusri juga menolak pandangan sesetengah pihak bahawa kemenangan besar BN-PN dalam PRN Melaka menggambarkan penolakan pengundi terhadap kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Anwar, atau menjadi referendum terhadap kepimpinan di peringkat Persekutuan.
Sebaliknya, keputusan itu boleh dijadikan petunjuk kepada BN dan PN dalam merancang bentuk kerjasama politik bagi menghadapi PRU16, meskipun landskap PRU jauh berbeza daripada PRN.
Beliau mengambil contoh kemenangan besar BN dalam PRN Melaka pada 2021 dan Johor pada 2022, yang tidak diterjemahkan kepada prestasi sama dalam PRU15 pada November 2022, apabila BN hanya memenangi 30 daripada 222 kerusi Parlimen.
Dalam perkembangan yang mengubah landskap politik Malaysia, kontroversi skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyaksikan BN tumbang buat kali pertama dalam PRU14 pada 2018, selepas lebih 60 tahun memerintah, sekali gus membuka laluan kepada PH untuk membentuk kerajaan.
Sejak itu, prestasi BN terus merosot, sehingga gabungan itu bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan walau hanya memenangi 30 kerusi pada PRU15, selepas berlaku Parlimen tergantung berikutan tiada parti memenangi majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan.
Namun, walaupun menjadi sekutu dalam Kerajaan Perpaduan, BN dan PH menjadi seteru dalam tiga siri PRN sepanjang 2026, selepas blok politik pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, itu membentuk kerjasama strategik dengan gabungan pembangkang, PN.
Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh, pula menyifatkan kekalahan PH dalam tiga PRN berturut-turut itu sebagai isyarat bahawa selain keperluan menarik kepercayaan pengundi Melayu, gabungan itu perlu melakukan penilaian semula secara menyeluruh terhadap strategi politiknya.
Beliau berkata meskipun Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dianggap kubu tradisi Umno, PH sepatutnya mampu memperbaiki prestasi dengan meningkatkan undi popular atau sekurang-kurangnya menambah jumlah kerusi yang dimenangi pada tiga PRN itu.
Namun, katanya, keputusan PRN Melaka menyaksikan hanya DAP berjaya mempertahankan empat kerusi, manakala Amanah dan satu lagi komponen PH yang diketuai Datuk Anwar – Parti Keadilan Rakyat (PKR) – gagal menyumbang sebarang kemenangan.
Jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar itu, kelemahan itu perlu diberikan perhatian serius oleh kepimpinan PH, terutama jurang pengaruh DAP dan komponen Melayu dalam PH yang kian melebar.
Malah, kemerosotan undi popular PH daripada 35.8 peratus pada PRN Melaka 2021 kepada 29.3 peratus pada PRN Melaka kali ini, iaitu penurunan 6.5 mata peratusan, menunjukkan penerimaan terhadap gabungan itu semakin merosot.
“Sudah banyak kali kita mendengar pemimpin PH bercakap mengenai bedah siasat kekalahan, tetapi apakah yang dapat diterjemahkan dalam konteks peti undi terutama pada PRN Melaka kali ini?” ujarnya kepada BH.
Menurutnya, selain keutamaan mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu yang mewakili lebih 65 peratus penduduk Malaysia dan memperkukuh strategi kempen, PH juga perlu bergerak sebagai satu pakej gabungan seperti BN, dan bukannya secara berasingan.
“Saya rasa jika perlu berlaku reformasi, ia perlu bermula dalam PH sendiri. Pemimpin gabungan itu perlu memikirkan strategi politik dan kempen yang benar-benar berkesan, termasuk peranan PKR dan Amanah untuk menarik pengundi Melayu,” katanya.
Beliau berkata PH juga perlu memperkukuh komunikasi kerajaan, khususnya peranan PKR sebagai tunjang gabungan itu, bagi memastikan pencapaian pentadbiran dapat disampaikan kepada rakyat dan diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.
Bagi penganalisis politik, Encik Mujibu Abdul Muis, PH perlu mempertimbangkan pendekatan politik baharu, termasuk kemungkinan menjalin kerjasama rasmi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bagi membantu gabungan itu mendapatkan sokongan pengundi Melayu menjelang PRU16.
Beliau berkata langkah itu wajar diberi perhatian memandangkan parti komponen PH, termasuk PKR dan Amanah, masih belum berupaya menarik sokongan pengundi Melayu secara meluas.
“Kalau boleh digembleng Bersatu dan PH untuk membolehkan adanya parti yang mampu menarik undi Melayu menerusi Bersatu, itu mungkin perlu difikirkan.
“Ketika ini sukar untuk PH mendapatkan undi Melayu. Jika sokongan itu tidak dapat diperoleh, saya tidak nampak bagaimana PH boleh mengekalkan penguasaannya pada PRU16,” katanya kepada BH.
Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM itu berkata PH masih mempunyai masa untuk memperbaiki kedudukannya menjelang PRU16, apatah lagi keputusan PRN tidak semestinya mencerminkan corak pengundian pada PRU, yang mempunyai suasana dan pertimbangan berbeza.
Namun, PH perlu segera mengambil iktibar daripada kekalahan dalam beberapa PRN sebelum ini dan keluar daripada keadaan yang disifatkannya sebagai sindrom penafian.
Encik Mujibu turut menekankan keperluan untuk PH membina naratif baharu kerana pendekatan politik yang bergantung kepada isu rasuah, termasuk penggunaan slogan berkaitan skandal ‘sakau’ untuk menjatuhkan pihak lawan, dilihat tidak lagi berkesan untuk menarik pengundi.
‘Sakau’ merujuk kepada beberapa kes salah guna kuasa, penyelewengan dana dan kerugian pelaburan Kerajaan bernilai berbilion ringgit, termasuk membabitkan Lembaga Tabung Haji; Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), yang dikaitkan dengan pemimpin Umno iaitu komponen utama BN.
Encik Mujibu turut mengaitkan kekalahan PH pada PRN Melaka dengan kelewatan gabungan itu membina momentum kempen sejak awal.
“Bagi saya, jika ingin dirumuskan nasib PH pada PRN Melaka, semuanya kerana PH bermula begitu lambat,” katanya.