KUALA LUMPUR: Kekangan sumber kewangan antara cabaran utama kerajaan dalam melaksanakan persediaan bagi menghadapi bencana banjir di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata meskipun kerajaan menyediakan peruntukan kecemasan, jumlahnya terhad dan hanya boleh digunakan apabila berlaku bencana.

Katanya usaha menangani masalah banjir memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu.

“Secara umumnya, masalah banjir ini membabitkan Kerajaan Persekutuan, negeri dan tempatan.

“Sebab itu, kita perlu melihat bagaimana tindakan bersama dapat dilaksanakan.

“Antara cabaran kita hadapi ialah kekangan sumber kewangan.

“Kita mempunyai pendekatan jangka panjang dan sederhana bagi menangani masalah ini.

“Sudah pasti kita juga mempunyai peruntukan kecemasan, tetapi jumlahnya terhad dan hanya boleh digunakan untuk mengambil tindakan segera apabila berlaku bencana,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjelaskan demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada 28 Oktober.

Datuk Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata kementeriannya menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut melaksanakan pendekatan berstruktur dan tidak berstruktur bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh Malaysia.

Menurutnya kedua-dua pendekatan itu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT.

“Usaha mitigasi banjir perlu dilihat secara menyeluruh merentas butiran pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk tebatan banjir, pengurusan sungai dan saliran serta pengukuhan infrastruktur kawalan banjir,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebanyak 82 projek tebatan banjir sedang dilaksanakan di seluruh Malaysia setakat ini, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurut laporan di laman web Astro Awani, Datuk Anwar berkata enam projek tebatan banjir telah disiapkan dalam tempoh tiga tahun ini, dengan jumlah kos sebanyak RM336 juta ($105.15 juta).

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan beberapa projek utama baharu termasuk Projek Tebatan Banjir Bandar Kuching, di Sarawak; Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan, serta Projek PLSB Sungai Kemaman di Terengganu.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi kolam takungan di Lembah Klang yang berpenduduk padat, selain hampir RM320 juta untuk membaiki serta menaik taraf cerun, sistem perparitan dan parit di kawasan pihak berkuasa tempatan di seluruh Malaysia.