Warga Malaysia terutama di kawasan berisiko banjir diingatkan sentiasa berwaspada dan peka amaran cuaca semasa, berikutan jangkaan musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 27 Oktober dan diramal berterusan hingga Mac 2027.

Peringatan itu dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyusuli ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November 2026 dengan Januari 2027.

“Angin kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.

“Justeru, saya menyeru semua rakyat khususnya mereka yang berada di kawasan berisiko, supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti ramalan serta amaran cuaca semasa.

“Elakkan berada di kawasan yang mudah dinaiki air, jangan mengambil risiko meredah banjir dan patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada 27 Oktober.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar memastikan dokumen penting, ubat-ubatan, keperluan asas dan nombor kecemasan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.

“Keselamatan diri dan keluarga mesti menjadi keutamaan.

“Insya-Allah, semoga kita semua dijauhkan daripada sebarang musibah serta sentiasa berada dalam lindungan Allah swt,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Sejak 25 Oktober, beberapa kawasan di bahagian utara Malaysia iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, mula dilanda banjir termasuk banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan.

Keadaan itu menyebabkan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) terpaksa dibuka untuk menempatkan mangsa yang terjejas banjir.

Di Kedah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, memaklumkan sekitar 224 orang daripada 74 keluarga berlindung di PPS di tiga daerah iaitu Yan, Kuala Muda dan Pendang.

Banjir dilaporkan surut pada 27 Oktober.

Di Pulau Pinang, hujan lebat berterusan beberapa jam pada malam 24 Oktober menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu merangkumi Bayan Lepas, Bayan Baru, Seberang Jaya, Ampang Jajar dan Bukit Mertajam dilanda banjir kilat.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terpaksa dipindahkan ke PPS.

Sementara di Perlis, pihak berkuasa melaporkan satu PPS dibuka pada 1.50 pagi 26 Oktober untuk menempatkan 12 mangsa dari Kampung Telok di Kangar, selepas hujan berterusan menyebabkan banjir kilat.

Sebelum ini, media Malaysia melaporkan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadilah Yusof, berkata sebanyak 3,682 kawasan panas (hotspot) banjir telah dikenal pasti di seluruh Malaysia.

Menurut beliau kawasan terbabit dikenal pasti berdasarkan rekod kejadian banjir sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.