Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Surat layang: Timbalan Presiden Bersatu dituduh mahu jatuhkan Presiden

Sep 3, 2025 | 3:50 PM
Bersatu, Muhyiddin, Hamzah Zainudin
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri), bersama Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandang serius dakwaan, menerusi sebaran satu surat layang, yang memburukkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kononnya Ketua Pembangkang itu mahu menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat layang itu muncul beberapa hari lalu menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 7 September di Shah Alam, Selangor.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata beliau belum melihat surat layang yang didakwa didedahkan oleh Ketua Bersatu Hang Tuah Jaya (Melaka), Encik Mohd Azrudin Md Idris, beberapa hari lalu, namun melihat ia satu tuduhan serius yang berniat jahat untuk memburukkan parti itu.

“Dakwaan di dalam surat layang yang dipanjangkan oleh saudara itu berat dan perlu dipastikan kebenarannya,” katanya, lapor Malaysiakini.

Encik Mohd Azrudin mendakwa, surat layang itu tular melalui beberapa kumpulan WhatsApp Bersatu dengan menggunakan nombor telefon tempatan dan juga dari Thailand.

Beliau mengecam apa yang disifatkannya sebagai ‘strategi hodoh’ pihak tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan surat layang hanya untuk memburukkan nama Datuk Hamzah.

“Semua surat layang itu ada hanya satu mesej, iaitu memburukkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Hamzah.

“Dari satu sudut, surat layang ini membayangkan betapa ketokohan Datuk Hamzah begitu kuat sehinggakan beliau perlu diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan.

“Tetapi dari satu sudut lain, ia menimbulkan persoalan mengenai siapakah dalang di sebalik penyebaran surat layang itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan surat layang itu, penulis surat berkenaan menuduh Datuk Hamzah mempunyai agenda untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Surat layang itu juga mendakwa Datuk Hamzah sebagai broker yang menggerakkan cadangan bagi menubuhkan Majlis Eksekutif PN.

Justeru, Encik Azrudin menyeru semua ahli menolak sebarang usaha terancang ‘membawa budaya buruk parti lain’ umpamanya adu domba dan memfitnah pemimpin ke dalam Bersatu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata tindakan menyebarkan surat layang untuk tuduhan berniat jahat sebegitu hanya dilakukan oleh ‘pondan’ yang bacul.

Menurutnya, penyebaran surat layang ketika mana parti bakal menghadapi PAT adalah satu budaya tidak sihat kepada Bersatu.

Sebaliknya, kata Wan Ahmad Fayhsal, jika wujud sebarang pertikaian atau perbezaan pandangan ia harus disuarakan melalui mesyuarat parti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg