Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga Altantuya desak siasat tuduhan bunuh libat pegawai tinggi kerajaan

Jan 3, 2025 | 4:18 PM
Bapa kepada mendiang Altantuya, Encik Shaariibuu Setev (kiri), bersama peguamnya, Cik Sangeet Kaur Deo (kanan).
Bapa kepada mendiang Altantuya, Encik Shaariibuu Setev (kiri), bersama peguamnya, Cik Sangeet Kaur Deo (kanan). - Foto fail

KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu, mendesak kerajaan Malaysia agar menjalankan siasatan terhadap tuduhan yang terkandung dalam afidavit bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, yang disabitkan dengan pembunuhan wanita Mongolia itu.

Desakan itu untuk menyiasat mengenai pembabitan pegawai tinggi kerajaan Malaysia dalam mengarahkan operasi sulit untuk membunuh dan melupuskan jasad mendiang.

Afidavit itu dikemukakan ketika permohonan semakan hukuman mati Azilah di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 10 Oktober 2024.

Azilah yang didapati bersalah membunuh Altantuya dalam kejadian tragik 18 tahun lalu, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.

Peguam keluarga berkenaan, Cik Sangeet Kaur Deo, berkata afidavit itu diterima sebagai rekod mahkamah tanpa bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, mendakwa pembabitan pegawai tinggi kerajaan dalam mengarahkan operasi sulit untuk membunuh dan melupuskan jasad Altantuya.

“Impak tuduhan ini sangat serius dan secara langsung mencabar integriti institusi awam negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sekiranya tuduhan ini terbukti benar, ia menunjukkan eksploitasi institusi negara untuk agenda peribadi oleh individu berpengaruh yang bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat, malah juga merosakkan reputasi antarabangsa negara.

“Kerajaan tidak mampu dilihat berkompromi atau terbabit dalam usaha menutup skandal sebesar ini,” katanya dalam kenyataan pada 3 Januari, lapor Harian Metro.

Menurut Cik Sangeet sebarang persepsi mengenai kegagalan bertindak atau cubaan menyembunyikan kebenaran akan mencemarkan kewibawaan kerajaan dan nama baik negara di mata rakyat serta masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan mesti memberikan penjelasan mengenai usaha terkini untuk memastikan kepulangan Sirul Azhar Umar dari Australia untuk berhadapan undang-undang di Malaysia.

Pada 2009, Azilah bersama Sirul Azhar yang juga bekas anggota polis berpangkat koperal disabitkan bersalah membunuh Altantuya di Shah Alam, Selangor.

Azilah dan Sirul Azhar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013.

Bagaimanapun pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.

Sirul masih berada di Australia selepas dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney pada 2023 atas kesalahan berada di negara itu melebihi tempoh masa ditetapkan.

Dia ke negara itu dua bulan selepas dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah bagi melawat anak lelakinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg