Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas inspektor polis dalam kes bunuh Altantuya terlepas hukuman mati

Mahkamah benarkan permohonan semakan hukuman gantung sampai mati kepada penjara 40 tahun juga kepada dua pengikut ‘Tuhan Harun’
Oct 10, 2024 | 1:57 PM
Bekas inspektor polis Malaysia, Azilah Hadri, 48 tahun, yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006, terlepas hukuman gantung sampai mati.
Bekas inspektor polis Malaysia, Azilah Hadri, 48 tahun, yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006, terlepas hukuman gantung sampai mati. - Foto fail HARIAN METRO

PUTRAJAYA: Bekas inspektor polis yang membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dan dua pengikut ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ yang membunuh Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) terlepas hukuman mati.

Ini selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 10 Oktober membenarkan permohonan semakan hukuman gantung sampai mati kepada penjara 40 tahun kepada ketiga-tiga pemohon.

Bekas Ketua Inspektor daripada Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri, 48 tahun, dan dua pengikut ‘Tuhan Harun’ iaitu Sumustapha Suradi, 50 tahun; dan Shamsinar Abdul Halim, 47 tahun, memohon semakan semula di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Azilah dan Shamsinar turut dikenakan hukuman 12 sebatan, lapor Harian Metro.

Di bawah undang-undang baru itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum 12 kali.

Permohonan Azilah untuk menggantikan hukuman gantung sampai mati kepada pemenjaraan disokong oleh bapa kepada wanita yang dibunuhnya, Dr Shaariibuu Setev, dengan surat mengenai ‘kemurnian hidup’ yang dibacakan di mahkamah oleh peguamnya.

Pada 2009, Azilah bersama seorang lagi bekas anggota polis, iaitu Koperal Sirul Azhar Umar, disabitkan bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, Selangor.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu.

Sementara itu, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, dibebaskan daripada tuduhan bersubahat melakukan pembunuhan itu oleh mahkamah sama.

Azilah dan Sirul Azhar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013.

Bagaimanapun pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006. Dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir 2023.

Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.

Media melaporkan bahawa Azilah turut memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor.

Pada 2006, Sumustapha dan Shamsinar dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang, selepas mereka didapati bersalah pada 2016, membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaip, Allahyarham Ahmad Raffli Abd Malek.

Dalam kejadian itu Allahyarham Ahmad Raffli, 49 tahun, ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang pada 10 November 2013.

Pada masa yang sama, ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai ‘Tuhan Harun’, juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, tuduhan ke atas Harun digugurkan pada 26 Ogos, 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, pada 16 Ogos, 2016 akibat masalah pernafasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg