Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemarau berpanjangan di Kelantan jejas teruk tuaian padi

Jun 24, 2024 | 1:25 PM
Musim kemarau berpanjangan di Kelantan sejak akhir Januari menjejas teruk penanaman padi dan hasil tuaian.
Musim kemarau berpanjangan di Kelantan sejak akhir Januari menjejas teruk penanaman padi dan hasil tuaian. - Foto SINAR HARIAN

PETALING JAYA: Kemarau paling teruk di Kelantan dalam tempoh 30 tahun akan menyaksikan pengurangan sebanyak 40,000 tan padi pada musim tuaian pertama, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM58 juta ($16.67 juta).

Penurunan yang ketara ini akan memberi kesan kepada pengeluaran beras Malaysia sebanyak 10 peratus pada musim kali ini.

Kelantan merupakan pengeluar beras kedua terbesar di Malaysia selepas Kedah.

“Kemarau melampau yang tidak pernah berlaku sejak tiga dekad lalu menyebabkan paras air di Sungai Kelantan turun ke paras terendah baru-baru ini, mencecah hanya 2.5 meter (m),” kata Encik Mohd Izzat Mohd Zubir, Pegawai Khas kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Beliau berkata keadaan itu telah menjejas operasi pam Kemubu 2, dengan paras air terlalu rendah bagi proses mengepam.

“Kita perlukan tahap air untuk meningkat kepada sekurang-kurangnya 3.5m. Kita mesti mula menanam (padi) menjelang 28 Julai jika tidak kita akan menanggung kerugian,” katanya kepada The Star.

Musim kemarau berpanjangan di Kelantan sejak akhir Januari menyebabkan kerajaan melakukan tiga hari pembenihan awan mulai 21 Jun.

Operasi itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal minggu lalu. Beliau berkata pihaknya meluluskan RM5 juta daripada Dana Bantuan Bencana Negara bagi operasi itu.

Encik Mohd Izzat berkata lebih separuh daripada sawah padi di Kelantan masih belum memulakan penanaman, yang membawa kepada potensi pengurangan hasil sehingga 30 peratus musim ini.

Beliau berkata jadual penyiraman musim ini belum bermula, dengan petani dalam kedudukan bahaya terlepas musim penanaman padi jika ladang mereka tidak boleh diairi.

Kada, katanya, telah pun memantau paras air sejak 1 Jun lalu.

“Kami mohon kerajaan persekutuan meluluskan segera RM20 juta untuk membekalkan pam berkuasa tinggi di stesen pam Kemubu bagi membolehkan pengeluaran air dari sungai,” katanya.

“Pemasangan pam akan mengambil masa kira-kira tiga hingga lima bulan.”

Encik Mohd Izzat berkata kerugian Kelantan pada musim tuaian pertama (November hingga Jun) telah menjejas 3,890 daripada 7,721 petani berdaftar, khususnya di bahagian utara dan selatan Kota Bharu yang bergantung kepada stesen pam Kemubu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg