KUANTAN (Pahang): Penternak ikan sangkar dan udang kolam di Pahang kerugian lebih RM1.03 juta ($310,000) berikutan musim kemarau sejak tujuh bulan lalu.
Air Sungai Pahang yang surut melampau menyebabkan air menjadi panas hingga mengundang banyak ikan spesies patin dan tilapia yang sedia dipasarkan mati secara berperingkat.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Encik Abdullah Jaafar, berkata sebanyak 126 sangkar ikan milik beberapa penternak yang terletak di sepanjang Sungai Pahang di enam daerah terjejas apabila berada di beting pasir selepas air sungai surut melampau.
Katanya, projek ternakan udang seluas tiga hektar di Pekan, Pahang, yang terkenal dengan pengeluaran udang terbesar di negeri ini turut terjejas hingga menyebabkan kerugian besar pada pengusahanya.
“Jabatan sebelum ini mengingatkan kepada pengusaha akuakultur yang terkesan musim kemarau atau El Nino supaya dapat melaporkan kepada jabatan sekiranya projek ternakan ikan dan udang mereka terjejas seperti kes bencana banjir dan kemarau sebelum ini.
“Kita sudah kemukakan laporan kerugian yang dialami pengusaha akuakultur kepada Ibu Pejabat Perikanan secara berperingkat dari semasa ke semasa,” katanya pada 8 Ogos, lapor Harian Metro.
Beliau berkata pihaknya mewujudkan pasukan bertindak di setiap daerah untuk menerima semua bentuk aduan daripada penternak akuakultur sebelum dipanjangkan kepada Ibu Pejabat Perikanan Putrajaya.
Encik Abdullah berkata menerusi aduan yang diterima, pihaknya menyalurkan bantuan kerajaan dalam bentuk benih dan makanan ikan kepada pengusaha akuakultur di negeri ini yang terjejas bencana kemarau termasuk banjir sejak 2020.
“Bantuan tertinggi diberikan kepada penternak akuakultur yang terjejas pada 2022 membabitkan lebuh RM1.95 juta diikuti RMRM463,000 (2021), RM310,301 (2024), RM307,425 (2020), RM192,470 (2023),” katanya.
Sebelum ini media melaporkan fenomena air Sungai Pahang yang surut melampau atau El Nino mengakibatkan kerugian lebih RM122,000 ditanggung oleh 24 penternak ikan sangkar di Kampung Sanding dan Chenor, Maran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg