ALOR SETAR (Kedah): Petani Malaysia bakal berdepan kesukaran memulakan musim tanaman baru padi yang dijadual bermula antara Oktober dengan November, berikutan fenomena cuaca panas dan ketiadaan hujan ketika ini.
Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Encik Che Ani Mat Zain, berkata ketika ini, kesan kemarau belum dapat dilihat sepenuhnya berikutan musim tanaman 1/2024 bakal tamat antara Ogos dengan September.
Menurutnya, umur padi semasa adalah antara 60 dengan 70 hari dan bekalan air sedia ada dilihat mencukupi bagi menampung keperluan petak sawah sehingga pokok mencapai tahap matang antara 100 dengan 120 hari sebelum musim menuai bermula.
“Musim kemarau di Kedah dan Perlis adalah perkara biasa bermula Disember hingga April, namun air di empangan tidak banyak surut dan kegiatan menanam padi masih boleh dilakukan seperti biasa pada setiap musim tanaman.
“Cuma kita bimbang sekiranya tiada hujan sehingga September depan kerana sistem saliran sawah di Kedah dan Perlis bergantung sepenuhnya kepada bekalan air dari Empangan Muda dan Pedu di Kedah, yang dilaporkan kritikal ketika ini.
“Kita juga dapat maklumat pesawah di Perak, Pahang dan Kelantan turut mengalami masalah sama akibat fenomena cuaca terlalu panas.
“Jika keadaan ini berterusan, pengeluaran padi musim hadapan berkemungkinan besar terjejas,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Encik Che Ani mengikut kebiasaan cuaca sejak beberapa tahun lalu, sepatutnya musim hujan bermula pada Julai dan berlarutan sehingga November bagi membolehkan bekalan air di empangan meningkat.
Namun, katanya keadaan itu agak berbeza pada 2024 apabila jumlah hujan yang turun sangat rendah sehingga ada kawasan sawah di Perlis dilaporkan tidak menerima hujan sejak beberapa bulan lalu.
“Kita memang dapat laporan mengatakan ada sawah di Perlis tidak dapat melakukan tanaman padi pada musim ini kerana masalah bekalan air di empangan yang kurang, tetapi kawasannya tidak terlalu besar.
“Pokok padi memerlukan bekalan air yang cukup bermula ketika waktu menabur hingga umur padi memasuki 80 hari bagi membolehkan butir beras dihasilkan dalam jumlah banyak, sekiranya tidak cukup air, akan berlaku padi hampa (rosak),” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg