KUALA LUMPUR: Kematian misteri seorang lelaki tempatan di sebuah hotel mewah pada awal pagi 24 Mei, telah membongkar penganjuran ‘parti dadah’ melibatkan lapan individu berbilang warganegara.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, mengesahkan polis menerima laporan mengenai lelaki berusia 31 tahun itu, yang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari hotel di Jalan Stesen Sentral pada 3 pagi.

Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Brickfields kemudian menyerbu bilik hotel berkenaan kira-kira 4 pagi.

Serbuan tersebut membawa kepada penahanan lapan suspek pelbagai warganegara.

Mereka terdiri daripada dua lelaki Malaysia, dua lelaki Singapura, serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia, dan China.

“Hasil pemeriksaan turut menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram serta tiga biji pil disyaki ‘ecstacy’ seberat 0.7 gram,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

Semua suspek tersebut kini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, kes kematian lelaki tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Mayatnya itu telah dibawa ke HKL, di mana bedah siasat telah dijalankan pada 9.30 pagi dan selesai menjelang tengah hari.

Punca kematian rasmi setakat ini masih menanti keputusan ujian makmal.