Program terbaru latih banduan jadi penyokong rakan sebaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program terbaru latih banduan jadi penyokong rakan sebaya

Beri peluang tingkat kemahiran bersama, kendali program pemulihan dengan kakitangan Perkhidmatan Penjara S’pura
Feb 27, 2026 | 8:50 PM

Program terbaru latih banduan jadi penyokong rakan sebaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Rangka Kerja Penglibatan Rakan Sebaya Dan Sokongan Pemulihan Berteraskan Pemerkasaan,  ‘Peer Engagement and Empowered Rehabilitation Support Framework’, dadah
Rangka Kerja Penglibatan Rakan Sebaya Dan Sokongan Pemulihan Berteraskan Pemerkasaan memberi sokongan berterusan kepada banduan dan ‘desistor’ iaitu bekas pesalah yang tidak melakukan jenayah selepas dibebaskan. - Foto ST

Banduan dan ‘desistor’ yang ingin membantu dirinya dan orang lain kini akan dilatih untuk menjadi penyokong rakan sebaya bagi banduan lain menerusi program terbaru, Rangka Kerja Penglibatan Rakan Sebaya Dan Sokongan Pemulihan Berteraskan Pemerkasaan atau ‘Peer Engagement and Empowered Rehabilitation Support Framework’.

‘Desistor’ adalah istilah yang digunakan bagi bekas pesalah yang tidak melakukan jenayah selepas dibebaskan.

Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 27 Februari di Parlimen ketika perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Dr Faishal yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam berkata program itu bertujuan memperkukuh masyarakat banduan dan bekas banduan.

Penyokong rakan sebaya itu juga akan diberi peluang meningkatkan kemahiran dengan bersama-sama mengendalikan program pemulihan motivasi dan psikologi bersama kakitangan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Mengulas lanjut, Dr Faishal berkata:

“Selain mempertingkat modal ekonomi banduan, adalah penting untuk membina modal sosial mereka melalui pengukuhan ikatan dengan keluarga serta membangunkan rangkaian ingin membantu yang lain dalam masyarakat.”

Sesuai dengan itu, Rangka Kerja Penglibatan Rakan Sebaya Dan Sokongan Pemulihan Berteraskan Pemerkasaan akan dilaksanakan sekali gus memberi sokongan berterusan kepada banduan dan ‘desistor’.

“Setelah dibebaskan, penyokong rakan sebaya ini boleh menyertai masyarakat ‘Rangkaian Desistor’ untuk terus mengembangkan kemahiran mereka dalam bidang ini, melalui penyertaan dalam kumpulan sokongan ‘desistor’ dan pembelajaran berterusan,” tambahnya.

Selain itu, Dr Faishal turut mengumumkan bahawa bagi penyalah guna dadah berulang yang berisiko lebih tinggi dan memerlukan program lebih intensif, SPS telah melaksanakan Program Pembetulan Berasaskan Psikologi (PCP) baru yang menumpukan pada refleksi peribadi, pemprosesan emosi dan pembinaan kemahiran praktikal.

“Penyalah guna dadah menjalani pemulihan dadah yang dibezakan, di mana laluan program disesuaikan berdasarkan penilaian risiko pengulangan jenayah dan tahap betapa teruk penyalahgunaan dadah,” katanya.

Di samping itu, dalam membantu pemulihan dan penyatuan semula bagi banduan, lebih ramai banduan akan meraih manfaat daripada pensijilan Literasi Tempat Kerja dan Celik Angka (WPLN), yang merupakan kelayakan yang diiktiraf untuk peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran di Singapura.

Dr Faishal menambah, terdapat lebih banyak laluan latihan kemahiran yang akan disediakan termasuk satu perkongsian rintis dengan Politeknik Temasek untuk membangunkan program yang memperkenalkan kursus bertauliah SkillsFuture Singapura dalam bidang Komunikasi dan Grafik, serta Media dan Penghasilan Kandungan untuk golongan banduan.

Menurutnya, MHA juga akan bekerjasama rapat dengan pelbagai badan Melayu/Islam (MMO) dan India/Islam, dalam usaha pemulihan dan penyepaduan semula pesalah dan bekas banduan.

Ini kerana “MMO lebih peka terhadap nuansa budaya masyarakat kita”, kata beliau.

Antaranya, pembentukan kumpulan projek ‘Next Lap’ di bawah Rangkaian Pemulihan MMO, atau MMORN, yang ditubuhkan pada 2024, untuk mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai keperluan keluarga, pesalah dan belia berisiko.

“Kumpulan projek ini menyatukan MHA dan MMO untuk bekerjasama dan mencadangkan saranan untuk mengukuhkan sokongan,” jelasnya.

Selain itu, Dr Faishal juga mengumumkan individu yang didapati mempunyai kesan dadah terkawal pada sampel rambut akan dianggap telah menyalahgunakan dadah.

Menjelaskan, ini kerana ujian rambut berupaya mengesan penyalahgunaan bagi tempoh masa lebih lama, sekali gus memberikan Biro Narkotik Pusat (CNB) alat penguatkuasaan lebih kuat.

Ini merupakan antara langkah MHA dalam meminda Akta Penyalahgunaan Dadah pada 2026 bagi mempertingkatkan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan berkaitan dadah.

“Kami akan memperkenalkan klausa anggapan bagi keputusan ujian rambut.

“Ini bermakna, jika dadah terkawal ditemui dalam rambut seseorang, mereka akan dianggap telah menyalahgunakan dadah tersebut,” jelasnya.

Dr Faishal turut berkongsi bilangan penyalah guna tetap meningkat; seramai 3,208 penyalah guna dadah telah ditangkap pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 1 peratus berbanding 2024.

Jumlah orang muda yang menyalahgunakan dadah juga semakin meningkat.

Menurutnya, pada 2025, sekitar separuh daripada penyalah guna baru yang ditangkap berumur di bawah 30 tahun.

Namun, usaha Pendidikan Pencegahan Dadah (PDE) telah menunjukkan hasil memberangsangkan, katanya.

“Tinjauan Persepsi Dadah Kebangsaan 2025 mendapati sikap belia terhadap dadah telah menjadi lebih konservatif kerana lebih ramai belia menyedari penyalahgunaan dadah adalah memudaratkan,” ujar beliau.

Menurutnya, sebanyak 87.7 peratus memiliki pandangan konservatif berbanding 83.2 peratus pada 2023.

Sikap terhadap dadah dalam kalangan orang dewasa kekal konservatif pada kadar 90.2 peratus.

Ketika berucap, Dr Faishal turut berkongsi bahawa kadar residivisme dua tahun bagi penduduk keseluruhan kekal rendah dan stabil, iaitu pada 21.9 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2023.

Namun, beliau akur kadar residivisme selama lima tahun telah meningkat sebanyak 2.7 mata peratusan kepada 39.3 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2020.

Namun, kadar itu dianggap rendah mengikut norma antarabangsa, katanya sambil menambah:

“Kadar lima tahun ini merupakan kayu ukur bagi ekosistem sokongan masyarakat dan keluarga yang mampan untuk bekas banduan bagi mengelakkan residivisme dalam jangka masa panjang.”

“Selain mempertingkat modal ekonomi banduan, adalah penting untuk membina modal sosial mereka melalui pengukuhan ikatan dengan keluarga serta membangunkan rangkaian ingin membantu yang lain dalam masyarakat.”
Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg