Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemenangan besar BN tamparan psikologi buat PH, boleh impak landskap politik di Negeri Sembilan, PRU16
Kemenangan besar BN tamparan psikologi buat PH, boleh impak landskap politik di Negeri Sembilan, PRU16
Kemenangan besar BN tamparan psikologi buat PH, boleh impak landskap politik di Negeri Sembilan, PRU16
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti yang lebih besar bukan sekadar satu kejayaan biasa, malah ia merupakan satu referendum politik yang memberi tamparan psikologi kepada Pakatan Harapan (PH), kata para penganalisis.
Kemenangan luar biasa gabungan BN – dan khususnya, parti utamanya Umno – ini disifatkan oleh penganalisis sebagai penanda aras penting yang bakal mengubah landskap kerjasama politik negara menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026 serta Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028.
Johor kembali dilanda gelombang biru apabila BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya pada 11 Julai, sekali gus memperoleh mandat lebih besar untuk terus mentadbir negeri itu bagi penggal akan datang.
Prestasi itu lebih baik berbanding pencapaiannya pada PRN Johor 2022 apabila gabungan itu memenangi 40 kerusi DUN.
Sementara itu, prestasi Pakatan Harapan (PH) pula merosot – daripada memperolehi 12 kerusi pada 2022 kepada hanya berjaya mempertahankan lapan kerusi, iaitu Senai, Skudai, Puteri Wangsa, Mengkibol, Simpang Jeram, Penggaram, Bentayan dan Stulang, pada 2026.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bersama Malaysia (Bersama) serta semua calon Bebas gagal memenangi sebarang kerusi DUN.
KEKALAHAN STRATEGIK BUAT PH
Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya menyifatkan keputusan di Johor itu sebagai satu “kekalahan strategik yang serius” bagi PH.
Kemerosotan ketara bagi PH itu turut memperlihatkan parti tonggak seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) kehilangan empat kerusi apabila parti itu hanya memenangi enam kerusi – daripada lapan kerusi yang diperolehi PH – berbanding 10 sebelum ini.
“Ini bermakna PH bukan sahaja gagal menawan kerusi baharu, malah mengalami pengecilan wilayah politiknya sendiri,” kata Profesor Dr Awang Azman.
“PH gagal meyakinkan pengundi bahawa ia merupakan alternatif kerajaan negeri yang berdaya maju; gagal mempertahankan sebahagian kubu tradisionalnya; dan gagal mengembangkan sokongan melampaui kawasan bandar tertentu,” tambahnya.
Dr Oh Ei Sun, Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, pula berkata kekalahan itu adalah satu kekalahan mengejutkan, terutamanya bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menarik perhatian bahawa PKR kini hanya mampu memenangi satu kerusi sahaja di Johor, menyamai prestasi hambar parti itu semasa PRN Sabah pada November 2025.
Keadaan ini memberi isyarat jelas bahawa pengaruh PKR semakin merosot, terutamanya selepas siri perpecahan kepimpinan terdahulu, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan Encik Nik Nazmi Nik Ahmad yang keluar daripada PKR untuk menerajui Parti Bersama Malaysia (Bersama), tambahnya.
Menurut Profesor Madya Dr Mazlan Ali, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, pula, kegagalan PH di sebalik kehadiran aktif Datuk Anwar sepanjang tempoh berkempen PRN Johor membuktikan terdapatnya “segmen pengundi senyap” yang menolak retorik gabungan itu.
Kekalahan ini “agak memberi tamparan” dan mencetuskan tekanan psikologi kepada Datuk Anwar yang kini memimpin Kerajaan Perpaduan dengan status minoriti 82 kerusi di Parlimen, kata beliau.
“Adakah Perdana Menteri akan menerima tekanan selepas ini untuk membubarkan Parlimen lebih awal? Saya jangka itu mungkin akan berlaku. Atau adakah beliau akan berjaya mengendurkan keadaan menunggu sehingga dua tahun, iaitu pada awal 2028, untuk mengadakan PRU yang ke 16 ini?,” tambah Dr Mazlan.
FAKTOR KEBERHASILAN BN
Dr Norshahril Saat, Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, menjelaskan bahawa kejayaan besar BN dipengaruhi oleh faktor Johor yang secara tradisinya merupakan kubu kuat Umno.
Kempen Umno yang menyasarkan DAP dilihat membuahkan hasil dalam menarik sokongan orang Melayu, di samping dibantu oleh peratusan keluar mengundi yang rendah, yang lazimnya memberi kelebihan kepada BN.
Namun, faktor paling kritikal yang menyumbang kepada kemenangan majoriti besar BN kali ini adalah strategi luar jangka melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan parti utamanya, Parti Islam SeMalaysia (PAS), menurut Dr Mazlan.
Beliau berkata ketiadaan calon PN di 23 kerusi yang dipertandingkan telah menghalang berlakunya perpecahan undi Melayu. Sebaliknya, undi daripada penyokong tegar PAS telah beralih secara besar-besaran kepada calon BN.
Peralihan sokongan bukan sahaja berlaku dalam kalangan pengundi Melayu.
Dr Mazlan berkata DAP kini tidak lagi boleh menganggap undi bukan Melayu sebagai simpanan tetap, atau ‘fixed deposit’.
“Kita lihat pada kali ini PH, khususnya DAP, mengalami kemerosotan kerana kita lihat pertama, sudah ada peralihan sokongan orang Cina dan juga orang India daripada DAP kepada MCA dan MIC, di mana MCA telah menang, malah telah merampas satu kerusi DAP di Tangkak.
“MIC juga menang kerusi yang mereka tandingi, menunjukkan bahawa sekarang ini, orang bukan Melayu tidak lagi menjadi ‘fixed deposit’ bagi PH,” katanya.
Profesor Awang Azman berpendapat bahawa kegagalan PH juga berpunca daripada paradoks hubungan PH-BN, di mana terdapat kerjasama di peringkat Putrajaya tetapi bertempur di peringkat negeri Johor yang mewujudkan kekeliruan naratif politik dalam kalangan pengundi biasa.
Di samping itu, kegagalan PH untuk mengetengahkan isu kos sara hidup, perumahan, dan gaji sebagai agenda utama pilihan raya telah menyebabkan pengundi memilih kestabilan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan pemulihan Umno di bawah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
IMPAK KEPUTUSAN TERHADAP NEGERI SEMBILAN, PRU KE-16
Impak kemenangan besar BN di Johor dijangka akan membawa kesan domino terhadap PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
Profesor Dr Awang Azman berkata momentum psikologi ini akan meningkatkan keyakinan jentera Umno dan menguatkan naratif bahawa BN masih menjadi pilihan utama pengundi Melayu.
Kesan langsung daripada keputusan ini adalah BN kemungkinan besar akan menuntut jumlah kerusi yang lebih banyak serta pengaruh yang lebih dominan dalam rundingan pembagian kerusi bersama PH di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, penganalisis mengingatkan bahawa struktur politik Negeri Sembilan tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan Johor.
Dr Oh dan Dr Norshahril bersependapat bahawa dinamika politik di Negeri Sembilan adalah berbeza, memandangkan PH mempunyai tapak yang kukuh di kawasan bandar dan MCA di bawah BN tidak boleh mengharapkan jalan mudah untuk mengulangi kejayaan serupa di sana.
“Pada pandangan saya, Negeri Sembilan kemungkinan besar akan menyaksikan semua pihak terpaksa berunding untuk membentuk suatu bentuk gabungan selepas ini, seperti mana yang mereka lakukan selepas pilihan raya negeri yang lalu,” kata Dr Oh.
Profesor Dr Awang Azman turut menambah bahawa Negeri Sembilan tidak semestinya menjadi ‘Johor kedua’, namun pola seperti pengukuhan BN, kelemahan mobilisasi PH dan peningkatan persaingan di kerusi Melayu boleh berlaku.
“Faktor paling menentukan ialah formula kerjasama PH-BN, pemindahan undi penyokong dan kemampuan setiap parti membina persepsi dan naratif menangani isu kos sara hidup serta prestasi kerajaan,” kata beliau.
Bagi jangka masa panjang menuju PRU-16, keputusan PRN Johor ini diramal bakal merombak keseluruhan jajaran politik tanah air, kata penganalisis.
Dr Mazlan berkata kejayaan ini akan memberi keyakinan tinggi kepada Umno untuk menilai semula kedudukan mereka dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika sebelum ini BN dan PH menjadi rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, keputusan di Johor ini mungkin akan mengubah status hubungan itu.
“Kita jangkakan pada masa depan, ada kemungkinan sama ada BN akan membuat keputusan untuk pergi ‘solo’ dalam PRU ke-16 ataupun membuat jajaran baru bersama PAS dan juga parti-parti lain.
“Itu ada kemungkinan berlaku selepas keputusan yang agak memberangsangkan bagi BN di Johor,” kata beliau.
