Menteri Besar Johor merangkap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam pagi 11 Julai.

Datuk Onn Hafiz tiba di pusat mengundi pada sekitar 8.05 pagi sebelum beratur bersama pengundi lain dan membuang undi pada 8.33 pagi.

Bercakap kepada pemberita selepas mengundi, beliau bersyukur proses pengundian berjalan lancar dengan cuaca yang baik serta suasana yang tenang di pusat mengundi.

Menteri Besar Johor merangkap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Besar Johor merangkap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Alhamdulillah saya tengok suasana pengundian berada dalam keadaan yang baik. Cuaca juga baik.

“Saya mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh Bangsa Johor. Semoga semua dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Sebelum meninggalkan pusat mengundi, beliau turut meluangkan masa bergambar bersama beberapa pengundi yang menghampirinya.

Turut mengiringi beliau ialah Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Encik Mohamad Fauzi Ishak.

Pada PRN kali ini, Datuk Onn Hafiz mempertahankan kerusi DUN Machap yang dimenanginya pada pilihan raya negeri 2022 dengan majoriti 6,543 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH), Encik Nur Hafiz Roslan.

Seramai 35,206 pengundi berdaftar layak mengundi di DUN Machap.

Sementara itu, calon PH bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, turut selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon, Simpang Renggam.

Mantan Menteri Pendidikan itu tiba di pusat mengundi pada 8.52 pagi sebelum selesai membuang undi enam minit kemudian dan meninggalkan kawasan pusat mengundi sekitar 9.05 pagi.

Beliau berharap proses demokrasi pada PRN Johor kali ini berlangsung dengan lancar serta menyaksikan kadar keluar mengundi yang tinggi.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, berharap lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab kerana setiap undi amat penting.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, berharap lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab kerana setiap undi amat penting. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya berharap lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab kerana setiap undi amat penting.

“Saya juga mendoakan calon PH di Machap, Encik Nur Hafiz Roslan, dapat mencipta kejutan, selain berharap semua calon PH di seluruh Johor memperoleh keputusan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut menggesa khususnya golongan muda supaya keluar mengundi bagi menentukan masa depan negeri.

Pada PRN Johor kali ini, Dr Maszlee berdepan saingan lima penjuru di DUN Puteri Wangsa membabitkan calon BN, Cik Teow Chia Ling; Cik Rashifa Aljunied daripada parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Encik Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia); serta calon Bebas, Encik Wang Wee Siong.