Kementerian Kesihatan Malaysia sedang meneliti kemungkinan mengambil jururawat dari luar negara bagi menangani kekurangan kira-kira 8,000 jururawat di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bahawa kementeriannya tidak menolak sebarang pilihan, namun menunggu permohonan rasmi sebelum membuat keputusan, memandangkan proses latihan jururawat tempatan memerlukan masa panjang.
“Saya sangat sedar dan insaf akan realiti ini. Ia tidak mudah untuk kita tingkatkan bekalan jururawat kerana mereka memerlukan masa dua tahun untuk melengkapkan latihan diploma dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu mencari cara untuk menangani jurang ini dengan segera,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan terbuka untuk mempertimbangkan jururawat dari luar negara dengan syarat keupayaan, kemahiran dan tahap keselamatan pesakit sentiasa diutamakan.
“Yang paling penting ialah memastikan standard, keselamatan dan kecekapan mereka terjamin, di samping mengambil kira faktor budaya dan bahasa. Jika ada permohonan rasmi, kita akan pertimbangkan segera,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Encik Jimmy Puah Wee Tse (Pakatan Harapan-Tebrau) pada sesi soal jawab lisan di Parlimen pada 11 November.
Terdahulu, Encik Puah membangkitkan isu kekurangan jururawat tempatan yang didakwa berpunca daripada tarikan gaji lebih tinggi di Singapura, dan memaklumkan bahawa terdapat cadangan daripada Konsul Jeneral Indonesia di Johor Bahru untuk membekalkan jururawat dari Indonesia untuk menampung keperluan hospital di Johor.
Beliau turut menyebut terdapat projek perintis di sebuah hospital swasta di Johor Bahru yang telah mengambil jururawat dari Indonesia bagi menilai kebolehpasaran tenaga luar dalam sektor kejururawatan tempatan.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly memaklumkan jangkitan HIV baru di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan jangka panjang dengan penurunan sebanyak 54 peratus antara 2002 hingga 2024.
Beliau berkata sebanyak 3,185 kes HIV baru direkodkan pada 2024, menurun sedikit berbanding 3,222 kes pada 2023, mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh pencegahan serta rawatan penyakit tersebut.
Namun demikian, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa jangkitan menerusi hubungan seksual sejenis (homoseksual/biseksual) menunjukkan sedikit peningkatan, dengan 2,037 kes direkodkan pada 2024, meningkat 2 peratus berbanding 1,995 kes pada 2023.
“Bagi kes baru HIV yang berpunca daripada perkongsian jarum dan alat suntikan tercemar semasa aktiviti penyalahgunaan dadah, jangkitan tersebut terus menurun daripada 66 peratus (4,038 kes) pada 2005 kepada 2.7 peratus (87 kes) pada 2023 dan 2.4 peratus (77 kes) pada 2024,” katanya.
Beliau menjelaskan penurunan mendadak itu hasil pelaksanaan Program Pengurangan Mudarat yang diperkenalkan pada 2005 dan 2006, melibatkan inisiatif pertukaran jarum serta rawatan metadon bagi penagih dadah suntikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg