PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbang menaikkan upah atau elaun jururawat dalam usaha mengatasi masalah ‘perang gaji’ bagi mengelak mereka berhijrah ke luar negara, termasuk Singapura.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata selain meningkatkan jumlah pengambilan jururawat, langkah menaikkan upah atau elaun seperti ‘post-basic’ itu akan menjadi pertimbangan dalam Program Kejururawatan.

‘Post-basic’ merujuk pada latihan khusus atau peluang melanjutkan pendidikan selepas tamat program kelayakan asas seperti Diploma Kejururawatan Am.

“Kita tahu negara jiran menawarkan ganjaran lebih tinggi, jadi kita perlu ambil tindakan segera.

“Namun, harus diingat tiada jalan pintas untuk mengatasi masalah ini kerana ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk satu kohort lulusan diploma atau ijazah tamat pengajian,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Auditorium Kompleks E, Putrjaya, pada 10 April.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan kajian terkini MBSB Research mendapati pasaran tempatan mencatat kadar kekosongan jawatan jururawat di paras genting sekitar 15 hingga 18 peratus pada 2026.

Fenomena kekurangan tenaga kerja itu memaksa penyedia kesihatan swasta terjerumus dalam persaingan agresif atau ‘perang gaji’, semata-mata demi mengekalkan jururawat sedia ada daripada berhijrah ke luar negara seperti Singapura mahupun Timur Tengah.

Hospital swasta pula terpaksa menaikkan gaji bulanan secara ketara dan memperkenalkan bonus kesetiaan untuk menghalang penghijrahan kakitangan.

Dr Dzulkefly mengakui isu kekurangan jururawat bukan perkara baharu dan ia satu masalah legasi, terutama suatu masa dulu ketika melaksanakan moratorium dan penutupan beberapa Institut Latihan KKM (ILKKM).

Katanya, keadaan itu menyebabkan berlaku masalah kekurangan jururawat ketika ini, yang bukan saja jururawat berkepakaran ‘post-basic’, tetapi jururawat biasa di kedua-dua sektor awam dan swasta.

“Sekarang berlaku ‘perang gaji,’ saya kira ini satu tanda jelas berlaku perebutan. Perkara ini kita bincangkan dengan Pengarah Kejururawatan dan beberapa sesi libat urus diadakan dengan pihak swasta.

“Kita akan terus menangani dan berusaha membendung aliran keluar jururawat bukan saja di pihak kemudahan perubatan awam tetapi juga swasta,” katanya.