Kementerian Kesihatan teliti perjanjian dua hala tarik doktor pulang berkhidmat
Kementerian Kesihatan teliti perjanjian dua hala tarik doktor pulang berkhidmat
Pendekatan strategik tangani kekurangan tenaga perubatan khususnya di hospital dan klinik kerajaan di beberapa negeri
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti pelaksanaan perjanjian dua hala dengan beberapa negara destinasi utama termasuk Arab Saudi, Singapura dan Australia bagi memudah cara petugas kesihatan rakyat Malaysia yang berhijrah kembali berkhidmat di tanah air.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan antara pendekatan strategik dalam menangani kekurangan tenaga perubatan khususnya di hospital dan klinik kerajaan di beberapa negeri.
KKM dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada 26 Februari berkata usahasama seperti itu pernah dilaksanakan apabila Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan United Kingdom dan Ireland Utara pada 8 November 2021 berkaitan pengambilan petugas kesihatan.
“Melalui MOU tersebut, antara aspek diberi penekanan ialah kaedah serta proses bagi memudah cara petugas kesihatan yang berhijrah untuk kembali berkhidmat di Malaysia,” katanya.
Selain itu, pihak kementerian turut bekerjasama dengan TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia menerusi Program Pakar Kembali atau Returning Expert Programme (REP) bagi menarik tenaga kesihatan berpengalaman di luar negara pulang berkhidmat.
“Di bawah program itu, beberapa insentif khas ditawarkan termasuk pelepasan cukai bagi barangan dibawa pulang, pengecualian duti eksais bagi pembelian sebuah kenderaan buatan tempatan serta pemberian status pemastautin tetap kepada pasangan dan anak bukan warganegara,” katanya.
Jawapan itu dikemukakan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batang Lupar, Encik Mohamad Shafizan Kepli, yang ingin mengetahui usaha kerajaan menarik petugas perubatan kembali berkhidmat dalam negara.
KKM turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan daya tarikan kerjaya perubatan dalam sektor awam.
“Antaranya, pemberian gaji permulaan berdaya saing sebanyak RM5,380 ($1,748) kepada Pegawai Perubatan Gred UD9, selain elaun bertugas selepas waktu pejabat (lokum) sebanyak RM80 sejam, Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) yang dinaikkan 40 peratus bermula 1 Oktober 2025 serta Elaun Pembedahan Elektif sebanyak RM80 sejam.
“Kerajaan juga meningkatkan peluang pelantikan tetap pegawai kontrak dengan kira-kira 4,000 pegawai perubatan dilantik tetap setiap tahun selain menyediakan laluan kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan daripada Gred UD9 ke UD14 dalam tempoh 12 tahun,” katanya.
Pada masa sama, slot latihan kepakaran laluan selari ditambah sehingga 600 slot setahun bermula 2025, berbanding hanya 52 slot pada 2022, di samping tawaran biasiswa Program Latihan Kepakaran kepada pegawai kontrak.
“Bagi pakar perubatan pula, kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk Bayaran Insentif Pakar antara RM1,900 dengan RM3,100 sebulan serta insentif penempatan di Sabah, Sarawak dan Labuan antara RM500 dengan RM2,500 sebulan.
“Mereka juga diberi peluang menjalani latihan subkepakaran, mengikuti kursus jangka pendek di luar negara, melakukan kerja sementara atau lokum di sektor swasta serta menjana pendapatan tambahan melalui perkhidmatan ‘Pesakit Bayar Penuh’ di hospital tertentu,” katanya.
Selain itu, pakar Gred UD14 yang telah diwartakan sekurang-kurangnya empat tahun diberi pelepasan satu hari seminggu untuk menjalankan penyelidikan, mengajar di universiti atau melakukan kerja luar.
KKM turut membenarkan pengambilan pegawai perubatan berpengalaman termasuk dari luar negara melalui pelantikan terus pada gred lebih tinggi seperti UD10 hingga UD15 berdasarkan pengalaman dan kepakaran.
Menurut kementerian itu, pendekatan menyeluruh bersama agensi kerajaan serta negara asing akan terus diperkasa bagi memastikan lebih ramai petugas kesihatan rakyat Malaysia kembali berkhidmat dalam sistem kesihatan awam negara.

