Kementerian Kesihatan M’sia siasat dakwaan warga asing elak bayaran rawatan hospital
Kementerian Kesihatan M’sia siasat dakwaan warga asing elak bayaran rawatan hospital
PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat dakwaan tular di media sosial mengenai pesakit asing mengelak bayaran rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan tidak membawa pasport.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kesahihan dakwaan itu, yang dikaitkan dengan individu mengaku kakitangan hospital, belum dapat disahkan dan perlu diteliti.
Beliau menekankan kepentingan menghormati dan menyiasat setiap maklumat yang didedahkan, termasuk kemungkinan ia datang daripada ‘whistleblower’ (pemberi maklumat) yang perlu dilindungi.
“Bagi saya, perkara ini mustahak untuk diteliti dan disiasat dengan lebih rapi kerana kita perlu menghormati mereka yang memberi maklumat. Kadangkala kita juga mahu whistleblower (pemberi maklumat) dilindungi,” katanya selepas ditemui dalam Program Kembara Beraya bersama Cik Era di IOI City Mall, Putrajaya, pada 15 Mac, lapor Harian Metro.
Terdahulu, tular di aplikasi Threads, seorang wanita mengaku jururawat di bahagian kecemasan HKL mendakwa warga asing yang mendapatkan rawatan mengelak bayaran deposit RM2,800 ($909.39) yang wajib dibayar sebelum dimasukkan ke wad, dengan berpura-pura tidak membawa pasport.
Warga asing, kebanyakannya dari Bangladesh, Nepal dan Myanmar, didakwa menggunakan alasan itu untuk mendapatkan borang Lampiran A, yang kononnya mengecualikan mereka daripada sebarang bayaran, menurut jururawat terbabit.
Mengulas perkara itu, Dr Dzulkefly menjelaskan SOP KKM mewajibkan semua pesakit asing membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad: RM1,400 untuk kes perubatan dan RM2,800 untuk pembedahan.
Bayaran deposit ini hanya 50 peratus bagi pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
“Bayaran deposit hanya dikecualikan bagi warga asing yang mempunyai skim insurans kesihatan seperti Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) atau skim insurans perubatan pelarian,” jelasnya.
Sekiranya pesakit tidak mampu atau tiada perlindungan insurans, mereka perlu menghubungi waris, keluarga atau rakan untuk menyediakan deposit.
Mengenai Lampiran A, beliau menegaskan borang itu hanya digunakan untuk kes kecemasan yang melibatkan ancaman nyawa di Jabatan Kecemasan dan Trauma, bukan untuk mengelak bayaran.

