Topik diikuti
Pergi ke BHkuKementerian Kewangan M’sia teliti cadangan bantu AirAsia
Kementerian Kewangan M’sia teliti cadangan bantu AirAsia
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan sedang meneliti cadangan untuk membantu syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata bagaimanapun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan syarikat penerbangan negara dan ketersambungan diteruskan.
“Kalau mana-mana syarikat penerbangan besar muflis, ia akan menyebabkan ketersambungan kita terbantut.
“Perkara ini memang dalam perhatian kerajaan dan kami cuba sedaya upaya untuk memastikan ia tidak berlaku,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau menjelaskan demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada 27 Oktober.
Pada 16 September, media Malaysia dan antarabangsa melaporkan Kerajaan Malaysia telah mengemuka pertanyaan kepada Malaysia Airlines dan Batik Air, mengenai keupayaan mereka menyerap bahagian pasaran domestik AirAsia sebagai sebahagian perancangan senario ketika pihak berkuasa memantau kedudukan kewangan syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia Tenggara itu.
Perbincangan antara kerajaan dengan Malaysia Airlines dan Batik Air menyusuli kebimbangan terhadap tekanan kewangan yang dihadapi AirAsia.
Sebelum ini, media Malaysia pada 13 Ogos melaporkan, AirAsia Group Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia X Bhd, mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM527.16 juta ($164.92 juta) bagi suku kedua tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2026.
Menurut AirAsia penyumbang utama kerugian itu adalah peningkatan perbelanjaan bahan api selepas purata harganya melonjak 66 peratus daripada suku sebelumnya dengan sebahagian besarnya dipacu oleh ketegangan geopolitik akibat konflik di Timur Tengah.
Sementara itu mengenai cadangan supaya Pulau Langkawi di Kedah dijadikan pelabuhan persiaran Disney Cruise, Encik Loke berkata pulau itu sudah dikenal pasti sebagai destinasi persinggahan kapal Disney Adventure.
Katanya tumpuan semasa kementerian adalah untuk memastikan kemudahan pelabuhan dan perkhidmatan sokongan disediakan dapat memenuhi keperluan operasi kapal serta memberikan pengalaman baik kepada penumpang.
“Cadangan menjadikan Langkawi atau Pulau Pinang sebagai pelabuhan utama Disney Cruise Line memerlukan perancangan strategik serta rundingan lanjut dengan pihak pengendali kapal.
“Antara aspek perlu dipertimbangkan termasuk kesediaan infrastruktur pelabuhan, kemudahan pengendalian penumpang, ketersambungan pengangkutan dan keperluan operasi serta komersial pengendali kapal.
“Perkara ini juga perlu mengambil kira komitmen perjanjian sedia ada Disney Cruise Line dengan Singapura bagi tempoh lima tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha memperkukuh daya tarikan dan mempromosikan keupayaan pelabuhan Malaysia kepada pengendali kapal persiaran antarabangsa perlu terus dipergiatkan.