Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kementerian Komunikasi: Menara KL milik kerajaan M’sia, hanya ubah pengurusan

Apr 1, 2025 | 12:59 PM
Menurut Kementerian Komunikasi Malaysia, pengambilalihan konsesi melibatkan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tidak akan menjejas operasi dan tenaga kerja di menara komunikasi yang merupakan antara  tertinggi di dunia itu.
Menurut Kementerian Komunikasi Malaysia, pengambilalihan konsesi melibatkan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tidak akan menjejas operasi dan tenaga kerja di menara komunikasi yang merupakan antara tertinggi di dunia itu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi Malaysia menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur (Menara KL) adalah milik kerajaan dan pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan serta operasi yang telah dilaksanakan melalui pemberitahuan permintaan cadangan (RFP).

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan RFP adalah tender terbuka bagi projek kerjasama awam swasta (PPP) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

“Bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) telah melaksanakan proses RFP dan seterusnya Jemaah Menteri telah memperakukan pembida berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut.

“Pembida berjaya ini telah diumumkan oleh pihak kerajaan pada 29 Mei 2024,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Kementerian Komunikasi sedang meneliti perkembangan terkini susulan isu pengambilalihan konsesi Menara KL yang dibuat menurut perjanjian konsesi yang telah ditandatangani oleh kerajaan.

Selain itu, ia menyatakan kementerian mengambil maklum akan writ saman dan permohonan injunksi yang telah difailkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) lanjutan daripada pelantikan syarikat konsesi baru ini.

“Oleh itu, pihak kerajaan melalui kementerian ini akan memastikan bahawa apa-apa tindakan yang akan diambil kelak adalah selaras dengan proses undang-undang.

“Sehubungan itu, pihak kementerian memohon agar semua pihak dapat memberi ruang kepada proses perundangan ini berjalan dengan lancar,” katanya, lapor Malaysiakini.

Pada masa yang sama, semua pihak terlibat termasuk orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh mengganggu proses perundangan yang sedang berjalan.

“Kementerian Komunikasi kekal komited terhadap tatakelola yang baik dan akan memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, pengambilalihan konsesi Menara KL tidak akan menjejas operasi dan pekerja di menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu, demikian ujar Kementerian Komunikasi, lapor Berita Harian Malaysia.

Kementerian berkenaan memaklumkan rundingan bersama syarikat konsesi baru, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), telah menggariskan terma yang tidak menjejas operasinya, yang akan berjalan seperti biasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg