Ketika lemang mula dibakar dan ketupat mula direbus, berjuta-juta warga Malaysia memulakan perjalanan balik kampung - tradisi penghijrahan tahunan terbesar warga kota ke desa bagi meraikan Aidilfitri.
Waktu ini, jutaan warga kota sudah mula berada di kampung, bersedia untuk menyambut lebaran bersama keluarga dan insan tersayang, selepas menempuh perjalanan sesak sehingga berjam-jam lamanya, demi semangat balik kampung.
Di Malaysia, tradisi balik kampung masih kekal meriah.
Pendek kata, kawasan bandar seperti Kuala Lumpur yang lazimnya sentiasa sibuk dengan kenderaan bertali arus 24 jam, bertukar lengang dan sepi dek ‘penghijrahan’ besar-besaran warga kota ke desa bagi menyambut Aidilfitri.
Ramai orang mengatakan, lengangnya Kuala Lumpur ketika musim raya ibarat boleh tidur di atas jalan.
Di segenap pelosok kampung di luar bandar pula, meriah dengan lampu warna warni, dentuman mercun dan cahaya bunga api, serta susunan pelita yang menambahkan keseronokan untuk meraikan Syawal.
Sejak 27 Mac, lebuh raya dan jalan raya di Malaysia dipenuhi lautan kenderaan atau mengikut statistik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), lebih 2.7 juta kenderaan berada di atas jalan raya setiap hari, untuk pulang ke kampung berhari raya.
Kakitangan swasta, Encik Fathi Abdul Rahim, 36 tahun, berkata pengalaman tiga tahun menempuh kesesakan berjam-jam di atas jalan raya sebagai perantau dari Kuala Lumpur (KL) ke Besut, Terengganu pada musim raya, tidak pernah mematahkan semangat ‘balik kampung’.
“Paling lama saya pernah berada di atas jalan raya ialah 20 jam iaitu pada 2023, sedangkan pada waktu biasa perjalanan KL - Terengganu hanya kira-kira lima atau enam jam.
“Ketika itu silap percaturan. Saya sangkakan apabila balik selepas Subuh tak tempuh kesesakan, namun sebaliknya pula berlaku.
“Tak boleh lupa seksanya pengalaman alami sakit perut, berebut tandas di hentian rehat dan rawat (R&R) yang beratur panjang sehingga ada yang bergaduh berebut tandas,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM).
Menurut Encik Fathi, tahun demi tahun, beliau semakin mahir trick (muslihat) untuk mengelak kesesakan trafik apabila pulang beraya.
Katanya beliau akan menyemak kemas kini trafik secara langsung di laman web LLM, selain menghubungi keluarga serta rakan, sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung.
Selain kenderaan persendirian, bas ekspres, perkhidmatan keretapi dan penerbangan juga menjadi antara pilihan warga kota untuk pulang ke kampung halaman.
Dianggarkan pada 2025, lebih 200,000 tiket bas habis dijual sejak dua minggu pertama Ramadan.
Kakitangan Terminal 17 - iaitu hab pengangkutan awam di Shah Alam, Selangor, Cik Sarah Shkh Ibrahim, berkata semua tiket bas ekspres bagi perjalanan ke pantai timur, utara dan selatan Malaysia yang mula dijual sejak awal Mac habis ditempah.
Beliau berkata selain itu, tiket bas ekspres dari Shah Alam ke Singapura bagi tiga trip perjalanan sehari bermula 27 hingga 30 Mac juga sudah penuh dengan penumpang sejak awal lagi.
“Musim raya memang beginilah, awal-awal lagi tiket bas sudah habis dijual.
“Bagi yang mendapat kelulusan cuti perayaan pada saat akhir, mungkin tak dapat pulang ke kampung. Jika ada pun tunggu rezeki, sekiranya bernasib baik akan ada bas tambahan pada saat akhir bergantung pada permintaan,” katanya ketika ditemui BM.
Cik Syaza Athirah Amir Sharifuddin, 36 tahun, antara penghuni kota yang pulang beraya ke rumah neneknya di Kota Bharu, Kelantan.
“Saya sudah beli tiket sejak minggu pertama Ramadan sebaik cuti telah diluluskan majikan. Saya lebih cenderung menaiki bas berbanding kapal terbang yang kos lebih tinggi pada musim perayaan,” katanya yang tinggal di Setapak, Kuala Lumpur.
Walaupun jutaan warga Lembah Klang pulang ke kampung halaman, warga kota yang menyambut Syawal di bandar tetap menikmati kemeriahan dengan cara tersendiri.
Di beberapa kawasan di bandar, banyak peniaga sibuk membakar lemang, memasak rendang mahupun menjual daun ketupat untuk dijadikan juadah di pagi raya.
Peniaga lemang daun lerek di Greenwood, Gombak, Selangor, Encik Ariffin Zakaria, 66 tahun - iaitu antara jenama lemang yang amat popular dalam kalangan warga kota termasuk pelanggan kenamaan dan orang ternama - mampu menghabiskan jualan sehingga lebih 4,000 batang lemang sehari sebelum Aidilfitri.
“Kebiasaannya jualan lemang perlahan pada minggu pertama Ramadan, tetapi masuk minggu akhir berpuasa, kami mula membakar lemang tanpa henti dari 8 pagi hingga 6 petang.
“Dianggarkan dalam sehari kita akan gunakan 20 guni beras pulut. Setiap guni mampu menghasilkan kira-kira 200 batang lemang,” katanya ketika ditemui BM.
Di pasar borong Selayang, Selangor, pula, ratusan ikat daun kelapa menjadi rebutan pelanggan, termasuk peniaga ketupat siap dimasak.
Pekerja gerai menjual daun ketupat yang hanya mahu dikenali sebagai Arif, berkata setiap ikat daun kelapa seberat lima kilogram dijual pada harga RM55 ($16.70).
“Pada penghujung Ramadan ini, 400 ikat daun kelapa untuk dijadikan ketupat habis dijual setiap hari. Itupun kadang kala tidak cukup,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg