Topik diikuti
Pergi ke BHkuKementerian M’sia ambil langkah elak sesak di Tambak Johor pada PRN
Kementerian M’sia ambil langkah elak sesak di Tambak Johor pada PRN
Kementerian M’sia ambil langkah elak sesak di Tambak Johor pada PRN
JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia akan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan tiada gangguan serius di pintu masuk negara, khususnya di Tambak Johor, pada Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlasung pada 11 Julai.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata KDN telah menubuhkan satu pasukan khas sebagai langkah persediaan.
Ia khusus bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan berikutan proses peralihan sistem imigresen daripada Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe).
Menurutnya, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan kelancaran pergerakan rakyat pada Hari Mengundi.
“Saya ingin jelaskan bahawa sistem yang sedang digunakan sekarang masih lagi sistem lama kerana proses peralihan kepada sistem baharu masih berjalan.
“Status semasa menunjukkan kemungkinan gangguan masih boleh berlaku sepanjang proses tersebut.
“Oleh itu, fokus kita sekarang ialah memastikan pada hari pengundian, iaitu 11 Julai, gangguan itu dapat dielakkan.
“Namun, jika berlaku, kita telah menyediakan pelan tindakan termasuk Pelan A dan Pelan B.
“Itulah arahan yang telah saya berikan kepada KDN,” katanya kepada pihak media di luar pusat penamaan calon Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru pada 27 Jun, lapor agensi berita.
Beliau hadir bersama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, untuk mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.
Mengulas kemungkinan penyediaan laluan khas untuk pengundi Malaysia dari Singapura, Datuk Saifuddin, berkata kerajaan akan mempertimbangkan semua ikhtiar yang perlu bagi memudahkan urusan mereka.
“Kita akan mengusahakan segala ikhtiar sekiranya perlu, termasuk menyediakan laluan yang dapat memudahkan pengundi Malaysia berada di Singapura pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
