Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: 2 beranak, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat antara 16 calon Bersatu
PRN Johor: 2 beranak, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat antara 16 calon Bersatu
PRN Johor: 2 beranak, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat antara 16 calon Bersatu
MUAR (Johor): Dua beranak serta bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat merupakan antara 16 calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung 11 Julai.
Encik Rasman Ithnain, 59 tahun, dan anaknya Encik Mohamad Alias Rasman, 35 tahun, masing-masing dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili dan Panti.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon pula dicalonkan di DUN Senggarang dan bakal berdepan dengan calon PKR, Encik Onn Abu Bakar sekali gus mengulangi pertembungan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Batu Pahat.
Turut membuat kejutan ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang baru sahaja mengumumkan keluar parti, Encik Abd Mutalip Abd Rahim yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahan DUN Layang-Layang.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal pula diberi tugas mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong yang dimenanginya pada PRN lalu, lapor Harian Metro.
Antara calon lain disenaraikan ialah Encik Fairulnizar Rahmat di DUN Penawar; Cik Aisah Esa (Johor Lama); Encik Lim Chin Eng (Stulang); Encik Muhamad Amerul Muhamad (Tenggaroh); Syed Mohamad Syed Alwi (Rengit).
Selain itu, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Parit Raja); Encik Muhammad Syafiq Aziz (Semarang); Encik Mohd Radzi Amin (Bukit Naning); Encik Mahfidz Omar (Serom); Encik Uzzair Ismail (Kemelah) dan Encik Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin (Bukit Pasir).
Kesemua nama calon Bersatu diumumkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam program Ceramah Umum dan Majlis Pengumuman Calon di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh pada 25 Jun.
Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin berkata, Bersatu menyenaraikan calon boleh menang pada PRN kali ini.
“Kita ada ramai calon dan kita buat pelbagai tapisan termasuk dengan Jabatan Insolvesni, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum menyenaraikan nama-nama mereka,” katanya.
Terdahulu, penyandang kerusi DUN Layang-Layang, Encik Abd Mutalip, mengumumkan keluar daripada Umno dan akan mempertahankan kerusi itu atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.
Adun dua penggal itu berkata beliau secara rasmi telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Encik Abd Mutalip, yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor pada 2013, berkata beliau tidak menyimpan sebarang perasaan tidak puas hati terhadap Umno.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Encik Abd Mutalip mempertahankan kerusi berkenaan selepas menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Maszlee Malik.
