KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia sudah memulakan siasatan mengenai dakwaan bahawa sebuah hospital swasta menahan mayat seorang bayi selama dua minggu kerana ibu bapanya gagal menjelaskan bil hospital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang mengesahkan perkembangan itu menasihati semua pihak supaya bertenang, memandangkan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (Ckaps) sudah dikerahkan untuk menjalankan siasatan.
“Saya secara jujur mahukan semua pihak bertenang dan mengizinkan pihak berwajib menjalankan siasatan, termasuk Ckaps.
“Jadi saya mahu semua dalam kalangan kita bersikap penuh ihsan, belas kasihan dan menjaga empati kita,” katanya pada satu sidang media di Dewan Rakyat, lapor Harian Metro.
Susulan kejadian itu, Dr Dzulkefly sempat menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bayi terbabit sambil berharap semua pihak tidak menyebar cerita yang belum dipastikan kesahihannya.
Pada 11 Disember, Berita Harian melaporkan sebuah hospital swasta di Selangor dikecam orang ramai kerana didakwa menahan dan membekukan mayat bayi itu selama dua minggu, kerana keluarganya tidak mampu membayar kos rawatan hospital sekitar RM3,600 ($1,091).
Ibu bayi itu – yang kematian anaknya selepas 30 minit melahirkannya – menanggung kesedihan berganda selepas beliau dikatakan tidak dibenarkan keluar wad hingga bil dibayar, tidak mendapat rawatan sebaiknya, dan dikatakan dihina pihak hospital berikutan keadaan bayi yang dilahirkan cacat.
Bagaimanapun hospital yang dikaitkan dengan dakwaan itu, Hospital Bersalin Razif (HBR) di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor, menafikan perkara tersebut.
Dalam satu kenyataannya pada 11 Disember, HBR mendakwa percubaannya untuk bercakap dengan suami wanita berkenaan mengenai pengebumian bayi mereka gagal.
Hospital itu mendakwa ia berbincang bersama wanita tersebut untuk mendapatkan bantuan polis bagi membantu menyelesaikan pengebumian, tetapi wanita itu merayu agar ia tidak berbuat demikian.
“Dia juga enggan memberikan maklumat mengenai ahli keluarga atau kenalan untuk membantu menyelesaikan isu pengebumian.
“Dia mendakwa dia tinggal di bilik sewa bersama suaminya. Dia tidak mempunyai saudara atau kawan rapat,” katanya.
HBR berkata pihaknya kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua prosedur.
Menyusuli kenyataan HBR itu, Facebook Mr Wan Chai Official, yang membuat pendedahan kejadian yang didakwa itu, membalas dengan mendakwa pihak hospital cuba memutar belit kenyataan dan menyembunyikan perkara sebenar dengan pelbagai dakwaan tidak berasas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg