Tiga pengendali penjagaan kanak-kanak telah dilantik untuk program perintis yang bertujuan menawarkan lebih banyak pilihan pengasuh bayi untuk ibu bapa mulai 1 Disember.
Ibu bapa dengan bayi warga Singapura berusia dua hingga 18 bulan boleh menghubungi EduNanny by Butler, Kidibliss dan NannyPro Care untuk mendapatkan khidmat penjagaan kanak-kanak di rumah pengasuh atau ruang masyarakat.
Di bawah program perintis itu, ibu bapa boleh memilih jumlah hari dalam seminggu yang diperlukan untuk bantuan penjagaan, serta memilih waktu yang lebih fleksibel.
Aturannya berbeza dengan pusat penjagaan bayi, yang biasanya menyaksikan ibu bapa menghantar anak mereka untuk tempoh masa yang tetap.
Program perintis tiga tahun itu diumumkan di Parlimen pada Mac oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.
Program itu bertujuan membangunkan sektor perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dengan menjadikannya pilihan penjagaan yang berpatutan, selamat dan boleh dipercayai bagi ibu bapa, kata Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) dalam satu kenyataan pada 21 November.
Perkhidmatan itu akan ditawarkan di rumah pengasuh, di mana setiap pengasuh akan menjaga satu hingga tiga bayi pada satu-satu masa.
Menurut Ecda, ia juga sedang menguji model baru yang menggunakan ruang masyarakat sebagai lokasi pengasuhan, untuk memudahkan akses oleh ibu bapa.
Kelab Masyarakat (CC) Tampines East dan Nee Soon East telah dikenal pasti sebagai ruang yang sesuai, menurut Ecda.
Ibu bapa boleh mendaftarkan bayi mereka untuk penjagaan kanak-kanak di ruang masyarakat itu pada separuh pertama 2025, lapor The Straits Times.
Ecda juga akan menyediakan lebih banyak ruang pengasuhan di lokasi yang mempunyai permintaan tinggi untuk penjagaan bayi.
Program perintis itu menawarkan khidmat penjagaan kanak-kanak dalam tempoh lima atau 10 jam, Isnin hingga Jumaat, dari 7 pagi hingga 7 malam (kecuali hari cuti umum) – dengan harga subsidi $16.50 untuk lima jam dan $33 untuk 10 jam.
Bayaran perkhidmatan penjagaan sepenuh masa (10 jam, 5 hari seminggu), adalah $719.40 sebulan – termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Untuk perkhidmatan lebih dari 10 jam atau di luar waktu yang ditetapkan, ibu bapa boleh membuat aturan berasingan pada kadar harga biasa.
Bagi program perintis itu, pengendali mesti memastikan bahawa rumah pengasuh dan ruang masyarakat yang digunakan dalam keadaan bersih, selamat, sesuai untuk bayi dan dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan bayi, seperti katil dan kawasan permainan, kata Ecda.
Pengasuh juga perlu menjalani latihan wajib dalam pertolongan cemas untuk bayi, keselamatan makanan dan penjagaan bayi, serta lulus pemeriksaan kesihatan dan latar belakang.
EduNanny memberitahu ST bahawa ia menyasarkan untuk mengambil lebih 120 pengasuh sepenuh masa bagi menjaga lebih daripada 300 bayi menjelang 2025.
Kidibliss pula menyatakan bahawa ia menyasarkan untuk mengambil sekitar 100 pengasuh menjelang 2025.
Salah seorang pengasuh Kidibliss, suri rumah berusia 40 tahun, Cik Jessica Ng, mula menawarkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak pada 2020 semasa pandemik Covid-19 selepas mendengar keluhan rakan dan jiran yang bekerja dari rumah, sambil menjaga anak mereka.
Mempunyai impian bekerja dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, beliau mendapati penjagaan kanak-kanak membolehkan beliau menjaga anak sendiri sambil memberi perkhidmatan bermakna kepada ibu bapa lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg