Topik diikuti
Pergi ke BHkuKenaikan pemberian khas Sarawak antara pengumuman Anwar sempena Hari M’sia
Bayaran interim akan ditingkat kepada RM1.5b
Kenaikan pemberian khas Sarawak antara pengumuman Anwar sempena Hari M’sia
KUCHING: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat tiga pengumuman penting semasa ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak, pada 16 September.
Pengumuman tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada komitmen pentadbirannya untuk memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), iaitu perjanjian yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Ia juga dibuat di tengah-tengah ketidakstabilan politik akibat ketegangan dengan Umno, rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) diterajui Datuk Anwar dalam Kerajaan Perpaduan, dengan beliau dilihat memerlukan sokongan dari Borneo untuk mengekalkan kestabilan kerajaan.
Pengumuman pertama ialah bayaran interim bagi peruntukan tahunan kepada Sarawak akan ditingkatkan kepada RM1.5 bilion ($460 juta), dari RM600 juta, berkuat kuasa 2026.
Langkah itu, kata Datuk Anwar, bertujuan menyelaraskan peningkatan serupa dalam bayaran geran khas kepada Sabah.
Geran interim itu merupakan penyelesaian sementara menunggu formula jangka panjang bagi memenuhi kewajipan Putrajaya terhadap Malaysia Timur, seperti yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Seterusnya, Datuk Anwar berkata Kerajaan memperluaskan keupayaan pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian, untuk memindahkan kelayakan mereka mendapatkan diesel bersubsidi kepada mana-mana pengguna sebenar yang layak, berkuat kuasa serta-merta.
Sebelum ini, pemindahan tersebut terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.
Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan kemudahan itu dengan memberi contoh jika Encik Alias memiliki empat kenderaan diesel persendirian, beliau boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan-kenderaan tersebut kepada pengguna sebenar, seperti isteri, anak, dan pekerjanya.
Encik Alias dan ketiga-tiga individu tersebut masing-masing akan menerima kelayakan bulanan mereka berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan.
Selain itu, Datuk Anwar turut mengumumkan bantuan penerbangan RM500 sekali bayar untuk pelajar baru yang mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi awam, untuk tiket penerbangan domestik bagi pengambilan September-Oktober 2026.
“Ini akan memberi manfaat kepada 7,095 pelajar yang perlu menaiki penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memulakan pengajian mereka,” kata Datuk Anwar, lapor Malaysiakini.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan Datuk Anwar merayu rakyat memberi peluang kepada kerajaan untuk meneruskan usaha menyelamatkan negara.
Beliau mengaku tindakannya menerajui Kerajaan Perpaduan kini mungkin tidak memenuhi kehendak pihak yang mahu segala perkara disegerakan.
Datuk Anwar menjelaskan bahawa tindakan dilakukan tergesa-gesa boleh mengundang permusuhan, terutama apabila masih ada pihak yang tidak mahu tindakan diambil atau pendedahan dibuat berhubung isu tertentu.
“Saya sudah melakukan yang sebaik mungkin. Saya minta maaf kalau ia tidak memenuhi selera orang yang merasakan perlu disegerakan. Tapi harus faham, menyegerakan tindakan juga mengundang permusuhan.
“Seperti yang berlaku sekarang, ada orang tidak mahu sebarang tindakan, tidak mahu sebarang pendedahan, tidak mahu perkataan ‘sakau’ digunakan.
“Tetapi saya berterima kasih kepada yang memberi kepercayaan, dan saya ingin merayu dari lubuk hati saya, berilah peluang kepada kita untuk menyelamatkan negara ini,” katanya, ketika menjadi tetamu podcast Sembang OhhYeahh!, pada 16 September.
