Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa khas ditubuh tangani tuntutan hasil 40% Sabah

Nov 17, 2025 | 4:00 PM
Sabah, tuntutan, 40%
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadilah Yusof. - Foto MALAY MAIL

KOTA KINABALU (Sabah): Sebuah jawatankuasa khas melibatkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah ditubuhkan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan tuntutan pulangan hasil bersih 40 peratus Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Datuk Fadillah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMPMA63), berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu akan melaporkan kepada JKTMPMA63, namun ia juga boleh membuat laporan terus kepada Kabinet berhubung perbincangan dan mekanisme yang akan dilaksanakan.

“Tempoh masa (untuk perbincangan pelaksanaan) adalah sangat singkat. Rundingan bermula hari ini (17 November), jawatankuasa telah dibentuk, dan jika boleh, mereka akan memperincikan proses pelaksanaan.

“Saya sedang menunggu laporan dan hasil perbincangan tersebut. Penting untuk membentuk jawatankuasa dan mengemukakan syor kepada kerajaan…Kita tunggu laporan penuh nanti,” katanya kepada pemberita di Menara Kinabalu, Sabah, pada 17 November, lapor Malay Mail.

Terdahulu, Datuk Fadillah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu yang turut dihadiri Safar, Johan dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad sejak 1974.

Oleh itu Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menyemak dan menyelesaikan tunggakan dalam tempoh 180 hari untuk ‘tahun-tahun yang hilang’ dari 1974 hingga 2021, apabila tiada semakan bahagian hasil Sabah dijalankan.

Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah itu telah diperjuangkan sekian lama oleh Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Fadillah menambah jawatankuasa khas itu akan membincangkan, antara lain, terma rujukan bagi melaksanakan tuntutan tersebut dan perkara itu akan dibawa untuk perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri baru yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November.

“Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap tuntutan 40 peratus itu, jadi Kabinet Persekutuan telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan (dengan kerajaan negeri).

“Memandangkan ketika ini hanya ada kerajaan sementara, apa yang lebih penting sekarang adalah untuk bertemu terlebih dulu,” katanya.

Pengundian bagi PRN Sabah akan berlangsung pada 29 November, manakala pengundian awal pada 25 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg