Semua kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan persiaran di Malaysia diwajib mengaktifkan penggunaan Peranti Had Kelajuan (SLD) sebagai satu langkah meningkatkan keselamatan jalan raya.
Pada masa sama, kerajaan akan merombak Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilihat gagal mencapai matlamatnya.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata penguatkuasaan penggunaan SLD akan dimulakan dalam tiga fasa secara berperingkat dengan mewajibkan pengesahan fungsi peranti itu bermula 1 Oktober depan, manakala penguatkuasaan penuh bakal dilaksanakan menjelang Julai 2026.
“Pelaksanaan penguatkuasaan ini adalah satu langkah penting ke arah memastikan kenderaan perdagangan mematuhi ciri keselamatan kritikal, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat, terutama yang melibatkan nyawa dan harta benda.
“Pihak Kementerian menyeru agar seluruh pemain industri, pengeluar, operator logistik dan pemilik kenderaan perdagangan untuk memberikan kerjasama penuh demi merealisasikan sistem pengangkutan yang lebih selamat, moden dan berdaya saing selaras dengan semangat Malaysia Madani dan keselamatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 Jun.
SLD merupakan peranti kawalan had laju atau sistem yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan berat.
Encik Loke berkata penguatkuasaan SLD akan bermula dengan semua kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang melebihi 3,500 kilogram (kg) yang berdaftar sejak 10 tahun lalu diwajibkan untuk mendapatkan pengesahan fungsi SLD daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Oktober depan.
Beliau berkata bagi kenderaan barangan dan kenderaan penumpang (membawa lebih lapan orang dan lebih 5,000kg) yang didaftar sebelum 1 Januari 2015 dan mempunyai SLD dalam sistem Unit Kawalan Elektronik (ECU), wajib mengaktifkannya mulai 1 Januari 2026. Ia termasuk kenderaan ‘rebuild’ dan import terpakai.
Kenderaan ‘rebuild’ ialah kenderaan berat yang dibina semula menggunakan komponen terpakai yang telah melebihi had usia penggunaannya di negara asal.
Bagi kenderaan barangan dan penumpang yang tidak dilengkapi sistem SLD adalah diwajibkan untuk memasang peranti SLD yang telah mendapat pengesahan daripada JPJ dengan penguatkuasaannya bermula Julai 2026.
Sementara itu pada sidang media, Encik Loke berkata Kejara yang digunakan JPJ ketika ini sebagai langkah mendisiplinkan pemandu tidak berkesan dan gagal menggalakkan orang ramai daripada membayar kompaun lalu lintas.
Sistem Kejara memberikan mata demerit kepada pemandu kenderaan yang melanggar peraturan jalan raya dan pemandu akan dikenakan tindakan seperti penggantungan atau pembatalan lesen mengikut jumlah mata demerit.
“Sistem Kejara masih aktif tapi kita kena rombak besar-besaran, ia tidak efektif langsung sekarang, markah hanya akan ditolak selepas pemandu bayar saman.
“Kalau pemandu itu belum bayar saman, markah tidak ditolak dalam sistem itu, hanya apabila saman itu dibayar, pesalah dianggap melakukan kesalahan dan markah akan ditolak. Masalah kita, ramai orang tak bayar saman, sebab itu saya kata sistem itu gagal,” katanya, lapor MalaysiaGazette.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg