SHAH ALAM: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas yang terlibat dalam nahas bas ekspres di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, awal pagi 9 Jun.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata tindakan itu diambil sejurus kejadian berlaku, lapor laman Sinar Harian.
Menurutnya, pada masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas bas serta syarikat terbabit mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Tindakan tegas akan diambil selepas siasatan selesai.
“Kami komited melindungi pengguna jalan raya, terutamanya daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
“Antara dasar yang sedang dirangka termasuklah pelaksanaan wajib ‘speed limiter’ bagi kenderaan berat. Polisi ini sedang diteliti secara menyeluruh termasuk usaha menutup sebarang ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan kelak,” ujarnya menerusi satu kenyataan di Facebook pada 9 Jun.
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabas dalam nahas di JRTB, berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi 9 Jun.
Dalam kejadian tersebut, seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala selebihnya cedera dan sedang dirawat di Hospital Gerik.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Jerteh, Besut, Terengganu, menuju ke Tanjung Malim, Perak.
Tambah Encik Loke, beliau mengambil maklum tindakan segera yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak pengurusan UPSI dalam menyantuni keluarga mangsa.
“Kejadian ini harus menjadi peringatan kepada semua pihak termasuk kerajaan, pengendali dan masyarakat.
“Tiada kompromi dalam soal keselamatan nyawa,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa.
“Saya amat sedih dan terkesan menerima berita nahas tragis itu. Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga kepada masa depan negara.
“Doa saya sentiasa mengiringi para mangsa dan ahli keluarga mereka yang sedang melalui saat amat sukar ini,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg