Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Syarikat dinasihat laksana waktu istirahat demi keselamatan

Jun 12, 2025 | 1:13 PM
MOM, Waktu Istirahat, keselamatan
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menasihati syarikat supaya melaksanakan waktu istirahat keselamatan secara sukarela dari 12 Jun hingga 26 Jun, dengan penekanan kepada keselamatan kenderaan dan kerja di tempat tinggi. - Foto FACEBOOK MOM

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan meningkatkan pemeriksaan di beberapa “sektor berisiko tinggi” dan menasihati syarikat supaya melaksanakan waktu istirahat keselamatan secara sukarela menyusuli lima kematian di tempat kerja yang direkodkan pada Mei.

Jumlah kematian telah meningkat daripada tiga dalam tempoh yang sama pada 2024.

Ia menunjukkan perlunya “pemilikan dan kebertanggungjawapan lebih kukuh”, kata kementerian itu dalam satu hantaran Facebook pada 11 Jun.

Sebagai satu “langkah pencegahan”, MOM menyeru syarikat supaya melaksanakan waktu istirahat keselamatan secara sukarela dari 12 Jun hingga 26 Jun, dengan penekanan kepada keselamatan kenderaan dan tugas yang melibatkan ketinggian, lapor The Straits Times (ST).

Dengan pelaksanaan tersebut, MOM berkata majikan dan pekerja boleh menyemak semula prosedur keselamatan, menguatkuasakan kawalan, memperbetul masalah yang dikenal pasti, dan mengukuhkan iltizam terhadap keselamatan.

MOM turut menambah bahawa langkah mengurangkan tekanan haba juga perlu dilaksanakan memandangkan cuaca dijangka menjadi lebih panas pada Jun dan Julai.

Selain waktu istirahat keselamatan, MOM turut menyatakan bahawa pihaknya akan meningkatkan pemeriksaan penguatkuasaan sebanyak 25 peratus, dengan tumpuan kepada sektor berisiko tinggi.

Ini termasuk sektor pembinaan, pengilangan, kelautan, pengangkutan dan penyimpanan.

Tempat kerja yang didapati melanggar peraturan boleh dikenakan arahan berhenti kerja atau denda, dan sesetengah kes mungkin akan didakwa di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.

Jumlah kematian di tempat kerja telah meningkat kepada 43 pada 2024, daripada 36 pada 2023.

Kejadian melibatkan kenderaan merupakan punca utama kematian, diikuti oleh lemas atau sesak nafas.

Sektor pembinaan mencatat jumlah kematian tertinggi sebanyak 20 kes.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg