Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu teksi Johor lega tindakan tegas S’pura terhadap ‘Pak Wanca’

Permintaan pengguna, pendapatan naik ketara
Aug 24, 2025 | 5:30 AM
Malaysia, Singapura, teksi, rentas sempadan, Pak Wanca
Keutamaan seharusnya diberikan kepada pemandu teksi sekiranya kerajaan Malaysia dan Singapura berhasrat memperkenalkan perkhidmatan kenderaan rentas sempadan. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Pemandu teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura menyambut baik tindakan tegas yang diambil Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura terhadap pemandu kenderaan persendirian haram – atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Wanca’ – yang beroperasi tanpa kebenaran di Singapura.

Langkah penguatkuasaan yang giat dijalankan sejak beberapa minggu lalu bukan sahaja mengurangkan kegiatan persaingan tidak sihat, bahkan memberi kesan positif secara langsung kepada pemandu teksi berdaftar di Johor kerana jumlah pelanggan yang menggunakan khidmat mereka meningkat dengan ketara.

Seorang pemandu teksi berpengalaman, Encik Muhammad Jamil Rosdi, 64 tahun, berkata sebelum ini beliau terpaksa menunggu sehingga dua hari di Singapura sebelum mendapat penumpang untuk kembali ke Johor.

Encik Muhammad Jamil Rosdi, 64 tahun.
Encik Muhammad Jamil Rosdi, 64 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Dulu kena tunggu sampai dua hari, baru boleh balik. Sekarang, selepas tindakan LTA sita kereta ‘Pak Wanca’, ada perubahan.

“Dalam tempoh seminggu dua ini nampak lebih cepat dapat pelanggan, walaupun kita belum pasti keadaan ini kekal atau tidak,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Stesen Teksi Larkin Sentral.

Menurutnya, pendapatan pemandu teksi amat bergantung kepada tambang dari Singapura, sekitar $60 (RM200) bagi perjalanan ke Johor, yang digunakan untuk menampung kos minyak dan sewa kenderaan.

Seorang lagi pemandu teksi, Cik Mimah Muhamad, 49 tahun, turut melahirkan rasa lega apabila tidak lagi perlu menunggu terlalu lama mendapatkan pelanggan.

Cik Mimah Muhamad, 49 tahun.
Cik Mimah Muhamad, 49 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Kalau dulu, sebelum LTA ambil tindakan, saya pernah tunggu sampai empat jam untuk dapat seorang pelanggan. Sekarang selepas operasi dijalankan, lebih cepat. Ramai penumpang kembali memilih teksi kerana lebih mudah dan terus dihantar ke rumah mereka (di JB),” katanya.

Beliau menjelaskan, sebelum ini kebanyakan penumpang yang tiba dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru ditarik ‘Pak Wanca’ yang menawarkan tambang lebih murah sekitar $30, tetapi perkhidmatan mereka tidak selesa kerana penumpang perlu menunggu giliran untuk dihantar.

“Berbeza dengan teksi berlesen yang terus membawa penumpang ke rumah masing-masing. Sebab itu selepas operasi dijalankan, pelanggan kembali menghargai khidmat teksi,” katanya.

Di JB Sentral, seorang lagi pemandu teksi, Encik Abdul Nasir Abdul Rahman, 65 tahun, menyifatkan kegiatan ‘Pak Wanca’ sebelum ini semakin melampau apabila mereka meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak khas buat teksi.

Encik Abdul Nasir Abdul Rahman, 65 tahun.
Encik Abdul Nasir Abdul Rahman, 65 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Selama ini kita bayar permit, ikut pemeriksaan, ikut syarat yang ditetapkan kerajaan. Tapi ‘Pak Wanca’ pula beroperasi sesuka hati. Dulu banyak kali laporan dibuat, tapi tindakan tidak tegas. Kini bila LTA ambil langkah sitaan, baru nampak kesan,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa di Malaysia, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), mencontohi ketegasan Singapura.

“Kalau tindakan dibuat hari ini, esok pun kena buat lagi. Kalau seminggu dua tiga kali operasi, barulah masalah ini boleh dikawal,” ujarnya.

Pengerusi gabungan tiga persatuan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, 65 tahun, berkata kegiatan ‘Pak Wanca’ menjejas mata pencarian kira-kira 200 pemandu teksi berpermit sah.

Pengerusi gabungan tiga persatuan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, 65 tahun.
Pengerusi gabungan tiga persatuan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, 65 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Beliau berkata pihaknya sudah beberapa kali menghantar surat aduan kepada JPJ dan APAD, namun tindakan terhadap kegiatan kereta ‘Pak Wanca’ dilihat masih longgar.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan sesetengah pihak supaya perkhidmatan tempahan dalam talian (e-hailing) dibuka untuk rentas sempadan.

“Kalau e-hailing dibuka kepada kenderaan persendirian, pendapatan pemandu teksi akan lebih terjejas. Di Singapura, pihak berkuasa sendiri tidak benarkan perkhidmatan itu untuk kereta biasa rentas sempadan, hanya teksi berpermit sahaja,” jelasnya.

Menurutnya, tiga persatuan teksi rentas sempadan kini beroperasi dengan kuota kira-kira 200 kenderaan sehari.

Namun, katanya, jika kuota itu tidak mencukupi, kerajaan sepatutnya membuka tambahan hanya untuk pemandu teksi sah dan bukan kenderaan lain.

“Beri keutamaan kepada kami dahulu. Kalau kuota tidak cukup, tambah kepada teksi sedia ada yang ada permit. Jangan buka kepada kenderaan persendirian kerana ia akan membunuh rezeki pemandu teksi rentas sempadan,” tegasnya.

Pihaknya juga berharap apabila projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) siap kelak, kerajaan menyediakan ruang khas buat teksi rentas sempadan di kawasan Stesen KTM lama Johor Bahru.

Sementara itu, Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan sedang merangka memorandum untuk diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah di Singapura.

Pengerusinya, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha, 42 tahun, berkata pihaknya mahu kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura duduk semeja mencari penyelesaian adil termasuk mewujudkan lesen khas.

Pengerusi Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha, 42 tahun.
Pengerusi Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha, 42 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Memang benar kami kini beroperasi tanpa permit sah. Tetapi kami mahu perkhidmatan ini dilesenkan.

“Satu cadangan ialah memperkenalkan sistem insurans khas seperti di Thailand, yang mana setiap penumpang wajib membeli insurans sebelum memasuki Singapura,” katanya.

Penasihat persatuan itu, Encik Khairul Anuar, 37 tahun, pula menegaskan sekitar 3,000 pengusaha berdepan risiko muflis kerana kenderaan pelbagai guna seperti Toyota Alphard dan Vellfire tidak dibenarkan masuk ke Singapura sejak 2023.

“Permintaan tinggi daripada keluarga kecil, warga emas dan orang kurang upaya mendorong mereka memilih kereta sewa lebih luas dan selesa. Tetapi tanpa permit, pemandu terus ditahan,” kongsinya.

Encik Khairul berkata keadaan di CIQ JB yang sentiasa sesak dengan barisan panjang turut mendorong orang ramai memilih kereta sewa persendirian.

“Tidak semua sanggup berjalan jauh dengan anak kecil atau menolak kerusi roda melalui lorong biasa.

“Laluan khas untuk warga emas, orang kurang upaya dan keluarga dengan anak kecil juga tidak disediakan sepenuhnya, sama ada di Johor Bahru mahupun di Woodlands.

“Jadi, kami hadir sebagai penyelesaian kepada masalah ini, tetapi perlukan bimbingan kerajaan untuk menjadikan operasi ini sah,” ujarnya.

Seorang pemandu kereta persendirian yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Deen, 44 tahun, berkata permintaan utama datang daripada keluarga besar yang tinggal di kawasan perumahan awam di Singapura.

“Kebanyakan keluarga dengan warga emas dan kanak-kanak memilih khidmat kenderaan Johor kerana lebih mudah. Harga juga lebih berpatutan berbanding kadar di republik itu,” katanya yang sudah 18 tahun menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, kadar sewa kenderaan dari Johor sekitar $400 untuk sehari penuh, manakala kenderaan sewa di Singapura mengenakan caj $250 untuk satu destinasi sahaja.

“Jika ada tambahan destinasi, bayaran tambahan dikenakan. Sebab itu ramai memilih kenderaan dari Johor kerana lebih menjimatkan,” ujarnya.

Pak Deen menambah pengusaha Johor bukan sahaja membawa rakyat Singapura ke Johor, malah turut membantu menghantar warga Johor ke negara ini.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan Malaysia dan Singapura dapat duduk semeja mencari penyelesaian menang-menang.

“Kami bukan mahu menyaingi teksi atau bas sedia ada, tetapi mahu menjadi pelengkap. Dengan pengiktirafan rasmi, semua pihak akan mendapat manfaat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg