Pemilik kenderaan Singapura yang gagal mendaftar dan mengaktifkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan dikenakan saman mulai 1 Julai apabila penguatkuasaan penuh permit itu dilaksanakan di semua pintu sempadan darat Malaysia-Singapura.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata penguatkuasaan itu penting bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan pematuhan undang-undang melibatkan kemasukan kenderaan asing ke negara itu.
“Pelaksanaan VEP secara berperingkat telah bermula sejak 1 Oktober 2024 melalui pendekatan advokasi, termasuk pengeluaran Notis Peringatan kepada pemilik kenderaan Singapura yang belum mendaftar VEP,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Jun.
Dalam tempoh itu 52,012 kenderaan Singapura telah diperiksa secara rambang dan 2,245 Notis Peringatan dikeluarkan – mewakili 4.32 peratus daripada jumlah kenderaan yang diperiksa.
Sehingga 2 Jun 2025, sejumlah 231,018 kenderaan persendirian individu dan 2,660 kenderaan milik syarikat telah menerima Tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID), namun 36,511 kenderaan masih belum memasang atau mengaktifkan tag tersebut.
Encik Loke menjelaskan bahawa penguatkuasaan penuh akan dijalankan mengikut Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana individu memandu kenderaan motor asing tanpa permit sah ketika memasuki atau berada di Malaysia.
“Kenderaan yang tidak memiliki VEP sah akan dikenakan tindakan saman sebanyak RM300 ($91) dan pemiliknya diwajibkan membayar saman serta mendaftar VEP sebelum dibenarkan keluar dari Malaysia.
“Bagi kenderaan syarikat yang telah pradaftar tetapi belum mengaktifkan tag, hanya Notis Peringatan akan dikeluarkan,” katanya.
Pembayaran saman boleh dibuat secara tanpa tunai di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JPJ Mobile atau secara dalam talian menerusi wadah myEG.
“Justeru, JPJ menyeru semua pemilik kenderaan asing agar segera melengkapkan proses pendaftaran, pemasangan dan pengaktifan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa akan datang,” tambahnya.
Menurut Encik Loke, JPJ turut komited dalam memastikan perkhidmatan terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Pasukan penguat kuasa juga akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik berhampiran Tambak Johor dan Linkedua sebagai langkah mengurangkan kesesakan di kedua-dua pintu masuk sempadan itu.
Encik Loke berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bagi memastikan pelaksanaan sistem VEP berjalan lancar.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pemerintah Singapura atas kerjasama dan sokongan mereka dalam pelaksanaan proses pendaftaran VEP,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg