Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan Johor nafi dakwaan sabotaj gangguan air ketika Kongres PKR

May 27, 2025 | 11:03 AM
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR.

ISKANDAR PUTERI (Johor): Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, menafikan dakwaan bahawa kerja baik pulih gangguan bekalan air minggu lalu sengaja dilengahkan bagi sabotaj Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang kaitan antara gangguan bekalan air dengan penganjuran kongres parti tersebut.

“Macam tak ada kerja pula. Isu air ini langsung tidak ada kena-mengena dengan kongres,” katanya dalam sidang media sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar pada 26 Mei.

Encik Mohamad Fazli berkata demikian sebagai menjawab soalan media berhubung dakwaan kononnya kerja baik pulih pam air yang rosak dilengahkan kerana Kongres PKR yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu, lapor The Star.

Berhubung isu gangguan air tersebut, Encik Mohamad Fazli berkata bengkel akan diadakan bersama syarikat konsesi air, Ranhill SAJ, dalam tempoh satu hingga dua minggu bagi menilai semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, khususnya dalam aspek komunikasi ketika berlakunya krisis bekalan air.

“Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah kegagalan pengendali air memaklumkan kepada pengguna lebih awal tentang kerosakan pam air, menyebabkan ramai terus menggunakan air dari tangki simpanan seperti biasa,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap syarikat pengendali, Encik Mohamad Fazli menjelaskan bahawa hanya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempunyai kuasa berbuat demikian.

“Hanya SPAN boleh mengambil tindakan kerana mereka adalah badan kawal selia bagi pengendali air. Mereka telah menerima laporan berhubung insiden ini dan sedang memantau keadaan.

“Kita akan tunggu keputusan SPAN, sama ada tindakan akan diambil terhadap operator atau mereka akan semak semula SOP sedia ada,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan bahawa lebih 155,000 pemegang akaun yang terjejas akibat gangguan air tersebut akan menerima rebat bil air sebanyak 15 peratus sebagai pampasan.

Beliau turut memohon maaf bagi pihak kerajaan negeri kepada semua penduduk Johor yang terjejas dengan krisis itu.

Gangguan air yang bermula pada Rabu (21 Mei) dan berlarutan sehingga Sabtu (24 Mei) itu memberi kesan kepada pengguna di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg