Kerajaan Johor kini giat memantau secara dekat pelaksanaan kerja menaik taraf jalan raya di kawasan pelebaran jalan di Lebuhraya Pasir Gudang sepanjang lima kilometer Fasa 1 yang sedang dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata sebanyak 197 lampu akan dinyalakan sepenuhnya menjelang 11 Julai.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 467 kerja penurapan (patching) telah dilakukan sejak Januari 2025, dengan fokus kini tertumpu kepada kerja pembaikan kekal berbanding penurapan sementara.
“Dua lokasi utama yang menjadi tumpuan saya ialah di CH1170 (berhadapan Petron) dan CH4200 (berhadapan replika Wau), di mana kawasan ini terdapat banyak jalan berlubang dan jalan yang tidak rata.
“Pihak kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja heavy patching sepanjang 50 meter di setiap kawasan ini bermula pada 5 Julai 2025 dan dijangka siap pada pagi 8 Julai 2025.
“Langkah ini adalah untuk menambah baik kaedah sedia ada, iaitu carpet patching, yang telah dilaksanakan di 467 lokasi sepanjang lima kilometer kawasan projek pelebaran ini.
“Antara cabaran lain yang sedang kami teliti ialah blind spot, atau titik buta antara lampu-lampu yang terlalu jauh jaraknya, serta keperluan menambah blinker untuk keselamatan pengguna,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata sistem pencahayaan solar sedia ada dikenal pasti antara faktor kawasan masih kelihatan suram pada waktu malam, justeru pihaknya kini sedang meneliti keperluan menambah lampu sorot dan sistem pencahayaan lain yang lebih cekap.
Mengenai pembukaan semula lorong, Encik Mohamad Fazli berkata satu penyelarasan semula sedang dibuat bagi menentukan kawasan yang boleh dibuka kepada tiga lorong lebih awal sementara projek penuh masih dilaksanakan.
“Projek ini merupakan peluasan jalan daripada dua kepada tiga lorong. Perancangan sedang dimuktamadkan minggu ini, namun sebarang keputusan perlu meneliti keperluan mengekalkan dua lorong aktif bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.
Pada Februari 2025, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri akan terus komited memastikan kemudahan jalan raya lebih selesa dan selamat untuk rakyat menerusi pelaksanaan projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang secara bertahap, melibatkan kos keseluruhan melebihi RM379 juta ($114 juta).
Menurutnya, projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang Fasa 3 yang melibatkan laluan dari Persimpangan Bertingkat Perling ke susur naik ke Lebuhraya Utara-Selatan akan menyaksikan pelebaran daripada empat lorong kepada enam lorong.
Projek tersebut menelan belanja RM301.5 juta dan dijangka siap pada Jun 2028.
Sementara itu, satu lagi projek di bawah Fasa 2B melibatkan laluan dari Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Pasir Gudang, turut dinaik taraf daripada empat kepada enam lorong, dengan kos RM78 juta dan dijangka siap pada Februari 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg