Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek gantri tol, naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru dijangka selesai ikut jadual

Jun 25, 2025 | 12:44 PM
Johor, gantri tol, Lebuhraya Senai-Desaru, Fazli Salleh
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (depan, dua dari kanan), ketika melakukan lawatan ke tapak pembinaan struktur gantri tol di Jejambat Meridin East. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Kerajaan Negeri Johor kini giat menyelesaikan dua projek prasarana penting iaitu pembinaan struktur gantri tol di Jejambat Meridin East dan projek naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), yang dijangka memberi kesan besar kepada aliran trafik serta keselamatan pengguna di kawasan timur negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pembinaan gantri tol di Jejambat Meridin East yang terletak berhampiran Plaza Tol Cahaya Baru kini berada pada tahap 20.43 peratus siap, sedikit mendahului jadual asal.

“Jejambat itu dibina sejak 2018 dan siap pada 2021 oleh pihak Meridin East Sdn Bhd dengan kos RM53 juta ($16 juta).

“Ia menghubungkan kawasan perumahan Kong Kong ke Lebuhraya SDE dan bertujuan menyuraikan trafik dari kawasan itu ke kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Tanjung Langsat,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Jun.

Menurutnya, sebelum pembinaan gantri tol itu, penduduk terpaksa melalui Plaza Tol Cahaya Baru dan membuat pusingan ‘U’ di Plaza Tol Tiram untuk kembali semula ke Plaza Tol Cahaya Baru, menjadikan mereka menempuh perjalanan tambahan sejauh 40 kilometer dan membayar tol RM11.20.

“Disebabkan kesukaran itu, ada pengguna yang membuat pusingan ‘U’ di lokasi tidak selamat dan ini membahayakan nyawa serta keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Dengan pembukaan jejambat ini, pengguna hanya perlu menempuh perjalanan sejauh tujuh kilometer ke destinasi masing-masing,” jelasnya.

“Insya-Allah, projek gantri tol ini dijangka siap sepenuhnya pada 15 Disember 2025 dan akan memberi manfaat besar kepada penduduk serta pengguna kawasan sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Mohamad Fazli turut meninjau kemajuan projek naik taraf Lebuhraya SDE daripada dua lorong kepada empat lorong melibatkan jajaran sepanjang 9.34 kilometer dari jambatan Sungai Johor ke jambatan Sungai Semenchu.

“Projek ini bernilai RM129 juta dan telah memulakan kerja fizikal sejak Oktober 2024.

“Ia merupakan Fasa 1 daripada keseluruhan Lebuhraya SDE sepanjang 77 kilometer,” katanya sambil menambah bahawa permohonan bagi fasa seterusnya sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan.

Setakat ini, kemajuan projek mencatat 15.03 peratus berbanding jadual asal 14.84 peratus, menjadikan prestasi kontraktor mendahului jadual sebanyak 0.19 peratus.

“Naik taraf ini turut melibatkan pembinaan jambatan tambahan termasuk jambatan kedua Sungai Layau bernilai RM14 juta.

“Ia penting untuk meningkatkan keupayaan laluan yang kini mencatatkan 11.5 juta kenderaan setahun atau purata 31,000 pengguna harian pada 2024,” katanya.

Apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat kepada pengguna yang menghubungkan Senai di persimpangan Linkedua ke Desaru di persimpangan Penawar, yang turut menghubungkan Kota Tinggi dan Pengerang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg