Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan longgar etika pakaian orang awam di kaunter, pejabat dalam kes kecemasan

Dec 11, 2025 | 4:04 PM
pakaian, wanita, kaunter, pejabat
Seorang wanita yang mahu membuat laporan kemalangan tidak dibenarkan masuk ke pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, di Melaka, pada 9 Disember, kerana pemakaiannya disifat melanggar garis panduan kerajaan. - Foto FACEBOOK IBU PEJABAT POLIS DAERAH JASIN

Kejadian kontroversi melibatkan seorang wanita yang tidak dibenarkan memasuki balai polis di Melaka kerana pemakaiannya didakwa tidak sesuai baru-baru ini, telah membawa kepada penilaian semula etika pemakaian di pejabat kerajaan di Malaysia, terutama di khidmat barisan hadapan. 

Kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran terhadap etika pemakaian di kaunter dan pejabat kerajaan terutama bagi urusan kecemasan dan perkhidmatan barisan hadapan, termasuk balai polis, dalam keadaan kecemasan dan luar norma biasa.

Keputusan itu turut disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 11 Disember, yang menegaskan walaupun etika pemakaian sopan di pejabat kerajaan kekal dipertahankan, urusan keselamatan dan penerimaan laporan khususnya di balai polis, perlu mengatasi pekeliling sedia ada berkaitan cara berpakaian.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam satu kenyataan berkata kelonggaran pemakaian itu bagi memastikan hak pelanggan mendapatkan khidmat segera tidak dinafikan.

“Kelonggaran etika berpakaian akan diberikan bagi kes kecemasan dan di luar norma biasa untuk tidak dinafikan hak pelanggan mendapatkan perkhidmatan segera.

“Urusan kecemasan dan di luar norma biasa adalah seperti laporan kemalangan, laporan kebakaran dan urusan perihal bencana yang boleh mengancam nyawa dan harta benda,” katanya dalam kenyataan pada 10 Disember.

Kenyataan itu menyusuli cadangan Jemaah Menteri berhubung pengecualian kod etika pakaian bagi perkhidmatan barisan hadapan seperti pusat kesihatan dan keselamatan.

Menteri Komunikasi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, pada 10 Disember berkata mesyuarat Kabinet mencadangkan supaya beberapa perkhidmatan barisan hadapan, termasuk balai polis dan premis kerajaan tertentu, diberi pengecualian.

Secara umumnya, panduan kod etika berpakaian ketika berurusan di kaunter atau pejabat kerajaan digariskan dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025: Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam yang berkuat kuasa pada 20 Januari 2025.

Pekeliling itu menetapkan berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Namun, Tan Sri Shamsul Azri, berkata dalam hal ini, melihat kepada keadaan perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan yang berhubung terus dengan pelanggan, kelonggaran etika berpakaian akan diberikan bagi kes kecemasan dan di luar norma biasa demi tidak menafikan hak pelanggan mendapatkan perkhidmatan segera.

Datuk Saifuddin Nasution mengingatkan keutamaan pasukan polis untuk membantu orang awam yang memerlukan bantuan termasuk membuat aduan.

“Tugas utama pasukan polis menerima laporan. Itu tugas polis. Jadi keadaan bagaimana sekali pun, laporan itu tetap kena ambil. 

“Di satu sisi ada pekeliling mengenai peraturan berpakaian sopan ketika berurusan di pejabat kerajaan. Pekeliling itu menjadi panduan kita.

“Namun apabila berlaku keadaan kecemasan seperti kemalangan, laporan mengenainya yang perlu disegerakan berbanding apa jenis pakaian yang dikenakan pengadu,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada 11 Disember.

Pada 8 Disember, tular di media sosial mengenai seorang wanita berusia lingkungan 20-an tahun yang datang bersama ibunya untuk membuat laporan kemalangan jalan raya di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jasin di Melaka kira-kira 5 petang, dihalang masuk kerana didakwa memakai skirt lebih pendek daripada paras lutut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, dalam maklum balasnya mengenai insiden itu berkata kejadian itu berpunca daripada pelanggaran etika pemakaian yang ditetapkan untuk urusan di premis kerajaan.

Bagaimanapun, wanita itu bersama ibunya datang semula ke IPD berkenaan untuk membuat laporan pada 5.40 petang dengan pakaian lebih bersesuaian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg