PUTRAJAYA: Suntikan pelaburan RM1.1 bilion ($330 juta) kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan suntikan pelaburan itu dijadikan sebagai modal pinjaman supaya pengurusan syarikat apabila mendapat keuntungan, akan memulangkan semula dana berkenaan.
“Apakah dana ini dana hangus? Tidak.
“Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baru mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik.
“Apabila (SEB) mendapat keuntungan, (mereka) membayar semula dana suntikan itu, pulangkan (semula) RM1.1 bilion, jadi ini bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pada 13 Mac.
Pada 12 Mac media melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Dalam satu kenyataan, SEB menjelaskan pihaknya memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.
MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.
Mengulas lanjut, Datuk Anwar menegaskan suntikan dana itu bukan satu bentuk ‘bail out’, sebaliknya untuk membantu vendor yang terkesan akibat masalah kewangan dihadapi syarikat berkenaan.
Katanya, suntikan dana terbabit bukan diberi begitu sahaja, sebaliknya kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik untuk mengenal pasti masalah sebenar dihadapi syarikat tersebut.
“Saya sendiri tidak senang dengan cara kita menyelamatkan syarikat besar sedangkan puluhan ribu syarikat kecil sering terbiar tanpa pembelaan.
“Tetapi dalam kes ini, kita harus memahami bahawa suntikan dana ini bukan untuk menyelamatkan individu tertentu, sebaliknya bagi memastikan vendor yang bekerja mendapat bayaran mereka,” katanya.
Datuk Anwar berkata sebanyak 80 peratus daripada dana terbabit akan digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor yang sudah melaksanakan kerja mereka tetapi masih belum menerima bayaran.
“Jika syarikat ini ditutup, tiada syarikat tempatan lain yang mampu mengendalikan operasi dalam industri minyak dan gas negara.
“Ini bermakna semua kerja di sektor ini terpaksa diserahkan kepada syarikat asing,” jelasnya.
Datuk Anwar menegaskan setiap sen yang diberikan akan dipantau dan sekiranya terdapat sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa, siasatan akan diteruskan tanpa tolak ansur.
“Kita telah mengambil (firma audit) Ernst & Young untuk menjalankan audit forensik bagi memastikan ketelusan dalam proses ini,” katanya.
Menurutnya, keputusan untuk memberi suntikan dana bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip menolak sebarang usaha menyelamatkan syarikat yang bermasalah tanpa kawalan ketat.
Mengulas, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sesebuah kerajaan wajar membantu syarikat yang bermasalah namun ia mestilah tertakluk kepada alasan yang kukuh serta kajian menyeluruh.
Beliau menambah, kejatuhan sesebuah syarikat seperti Sapura Energy akan memberi kesan kepada ekonomi serta tenaga kerja.
Langkah tersebut juga mestilah dipantau agar matlamatnya tidak lari daripada sasaran sebenar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg