Syarikat yang ingin berkembang ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh menggunakan perkhidmatan perbankan baru oleh UOB yang bertujuan memudahkan pelaburan mereka di rantau tersebut.
Di bawah khidmat Laluan Hijau atau Green Lane UOB itu, syarikat boleh membuka akaun dan mendapatkan penilaian prakelayakan untuk permohonan kelulusan ‘Johor Super Lane’.
Laluan Hijau itu telah dilancarkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Johor, Encik Natazha Harris, dan CEO UOB Malaysia, Cik Ng Wei Wei, di Hotel Sunway Big Box pada 19 Februari.
Datuk Onn, yang merupakan tetamu kehormat acara tersebut, mengalu-alukan inisiatif itu dan berkata Singapura dan Malaysia telah menyaksikan “kemajuan yang luar biasa” dalam mengukuhkan peluang perdagangan dan pelaburan rentas sempadan sejak pemeteraian JS-SEZ.
“Perkongsian kami dengan UOB telah memperoleh momentum yang kukuh, mengukuhkan visi bersama kami untuk mewujudkan ekosistem pelaburan yang lancar dan berkembang maju dalam JS-SEZ.
“Sedang kita bergerak ke hadapan, kami tetap ingin menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, sedia masa hadapan yang akan mengukuhkan lagi kedudukan JS-SEZ sebagai destinasi utama untuk inovasi, industri dan pembangunan mampan,” kata Datuk Onn.
Semasa acara itu, Cik Ng juga mengumumkan bahawa UOB telah menubuhkan sebuah pusat JS-SEZ khusus di Johor dan Singapura untuk menyediakan sokongan pantas buat pelanggan dari segi penyelesaian kewangan, pembukaan akaun dan kemasukan pasaran.
Lebih 180 syarikat Singapura yang berminat meneroka peluang baru dalam JS-SEZ telah menghadiri acara itu yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan disokong bersama oleh UOB, Rajah & Tann dan RSM Singapura.
Pelancaran itu diadakan enam bulan selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) pada Ogos 2024 antara UOB dan agensi pelaburan negara Malaysia itu semasa Persidangan Asean 2024.
Semasa acara itu, pelanggan pertama Laluan Hijau UOB-Gold Peak Technology – iaitu pengeluar bateri GP – turut menyampaikan surat niat (LOI) kepada Invest Johor.
Di bawah LOI itu, Gold Peak Technology akan mewujudkan kemudahan pembuatan, penyelidikan serta pembangunan terkini di JS-SEZ yang menghasilkan bateri dengan teknologi generasi akan datang.
Pelaburan itu, yang dikendalikan oleh UOB, dianggar menelan pelaburan kira-kira RM670 juta ($202 juta) daripada Gold Peak Technology.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Gold Peak Technology, Encik Michael Lam, berkata JS-SEZ memberikan peluang strategik untuk syarikatnya mengembangkan jejaknya di Asia Tenggara.
“Kami berusaha untuk berada di barisan hadapan industri dalam pengeluaran hijau.
“Penyelesaian tenaga mampan mewakili inisiatif perniagaan utama, dan kami sedang melabur secara aktif dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memajukan teknologi inovatif dalam bidang ini.
“Dengan sokongan daripada UOB dan Invest Johor, kemudahan masa depan kami akan berfungsi sebagai hab untuk inovasi dalam teknologi bateri dan tenaga,” kata Encik Lam.
Datuk Onn mengalu-alukan pelaburan daripada Gold Peak Technology Group, yang membawa keupayaan pembuatan termaju, peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang mampan ke Johor.
Cik Ng berkata sejak pemeteraian MOU dengan Invest Johor pada Ogos 2024, bank itu telah membawa masuk pelaburan ke dalam sektor sasaran dan memperkemas proses untuk mempercepat pelaburan ke dalam JS-SEZ.
Ia juga telah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk melancarkan sebuah video untuk mempromosikan JS-SEZ.
“Kami berbangga kerana telah memainkan peranan penting dalam membawa pelaburan berpotensi ini daripada Gold Peak Technology Group.
“LOI ini penting kerana ia mencerminkan minat dan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur terhadap potensi JS-SEZ,” kata Cik Ng.
Cik Ng berkata kemudahan masa depan Gold Peak akan menumpukan pada menghasilkan teknologi bateri generasi akan datang dan dijangka memainkan peranan penting dalam memajukan penyelesaian penyimpanan tenaga mampan, terutamanya untuk pusat data di seluruh Asia Tenggara.
Cadangan pelaburan syarikat itu juga dijangka mewujudkan antara 150 dengan 180 peluang pekerjaan, yang akan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi rantau, memacu inovasi dan menyediakan prospek baru untuk bakat tempatan.
Pada Januari, Malaysia telah mengumumkan insentif cukai, termasuk kadar cukai 5 peratus untuk syarikat yang melabur dalam perniagaan bernilai tinggi, bagi menarik lebih banyak syarikat melabur dalam JS-SEZ.
Kadar cukai 5 peratus khas untuk 15 tahun adalah untuk syarikat yang melabur dalam aktiviti pengilangan dan perkhidmatan yang layak, seperti yang melibatkan AI dan rantaian bekalan pengkomputeran kuantum, peranti perubatan dan pembuatan aeroangkasa.
Di samping itu, pekerja berpengetahuan yang layak yang bekerja di JS-SEZ akan ditawarkan kadar cukai pendapatan sebanyak 15 peratus selama 10 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg