KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa penyelesaian sesuai bagi menghentikan pemilik kenderaan pendaftaran asing daripada membeli petrol RON95, yang diberi subsidi oleh kerajaan Malaysia.
Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata sebagai persatuan kebangsaan yang mewakili semua pengusaha stesen minyak di Malaysia, larangan penjualan RON95 kepada pemandu kenderaan pendaftaran asing adalah satu cabaran, khususnya dengan jumlah jualan yang kecil, tetapi penalti yang dikenakan tinggi mengikut undang-undang sedia ada.
“Undang-undang semasa di Malaysia tidak menghukum pemandu asing yang sengaja membeli minyak RON95 bersubsidi yang tidak diperuntukkan untuk mereka dan ini mewujudkan situasi pesalah laku terus membuat percubaan mendapatkan bekalan minyak RON95 bersubsidi ini, secara tersembunyi dan pada waktu yang dilihat lebih sesuai.
“Ini menjadikan pemantauan dan pencegahan sukar untuk pekerja kami terutama apabila transaksi membabitkan pembelian minyak RON95 menggunakan kad debit atau kredit di pam,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Khairul Annuar berkata adalah penting untuk menekankan bahawa dana yang digunakan untuk subsidi RON95 datang daripada pembayar cukai Malaysia.
Menurut beliau, selain mengambil gambar dan menyebarkannya di media sosial, pihaknya meminta orang awam supaya dapat turut bekerjasama dengan memberitahu juruwang atau pekerja pam minyak dengan segera apabila mereka melihat kejadian seperti itu berlaku.
“Juruwang kami boleh menghentikan pam dengan secepat mungkin melalui sistem dari dalam kedai, namun, pihak PDAM kecewa kerana tindakan yang boleh diambil adalah terhad, hanya mampu untuk menghentikan penjualan kepada pemandu terbabit di stesen sahaja.
“Tiada laporan lanjut yang boleh dibuat terhadap pemandu terbabit kerana tiada rang undang-undang yang boleh menghukum pemandu yang menyalahgunakan subsidi petrol RON95 ini.
“Kami juga tidak boleh terbabit dalam konflik bersama pesalah laku kerana ia boleh menyebabkan insiden yang tidak diingini,” jelasnya.
Akta Kawalan Bekalan 1961 menetapkan, stesen minyak di Malaysia yang didapati salah menjual petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1 juta ($280,000) atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Baru-baru ini sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, Melaka, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka selepas pengusahanya didapati menjual petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg