Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia laksana strategi kekang hijrah bakat ke S’pura

Tarik pulang golongan karyawan
Nov 13, 2025 | 1:21 PM
Malaysia, hijrah, bakat Singapura
Kementerian Sumber Manusia melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), melaksanakan beberapa perancangan bagi menangani cabaran penghijrahan bakat profesional Malaysia ke Singapura. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), melaksanakan beberapa perancangan kukuh untuk mengekalkan serta menarik pulang tenaga kerja berkemahiran tinggi, dalam usaha menangani cabaran penghijrahan bakat profesional Malaysia ke luar negara, khususnya ke Singapura.

Dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia, kementerian itu berkata antara langkah utama ialah pelaksanaan Program Knowledge Worker di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang menawarkan kadar cukai rata 15 peratus selama 10 tahun kepada diaspora Malaysia yang kembali bekerja di sektor berkemahiran tinggi di kawasan tersebut.

“Langkah ini meningkatkan daya tarikan ekosistem kerja domestik dan membuka peluang kepada tenaga mahir Malaysia untuk kembali menyumbang dalam sektor strategik negara,” kata kementerian itu.

Selain itu, TalentCorp turut menjalankan Kajian Penanda Aras Gaji untuk JS-SEZ bagi membandingkan struktur gaji dan kos sara hidup antara Malaysia dengan Singapura, termasuk faktor perumahan dan pendidikan.

Hasil kajian itu akan dijadikan asas pembentukan strategi berfokus bagi menarik balik dan mengekalkan bakat profesional, seiring dengan usaha mengekang fenomena brain drain, atau penghijrahan cendekiawan.

Kementerian turut menjelaskan bahawa fenomena penghijrahan tenaga kerja kini beralih daripada brain drain kepada brain circulation, melalui pelaksanaan inisiatif Malaysia@Heart (MyHeart) yang menghubungkan diaspora Malaysia di luar negara dengan peluang ekonomi, sosial dan budaya dalam negara.

“MyHeart memberi ruang kepada rakyat Malaysia di luar negara agar terus menyumbang kepakaran, pengalaman dan jaringan profesional mereka kepada pembangunan negara walaupun tidak pulang sepenuhnya,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama, TalentCorp meneruskan pelaksanaan Program Kepulangan Pakar (REP) yang menawarkan pelbagai insentif kepada rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang kembali ke tanah air.

Ia termasuk kadar cukai rata 15 peratus selama lima tahun, pengecualian cukai bagi barangan peribadi (kecuali kenderaan bermotor) serta pengecualian duti eksais sehingga RM100,000 ($31,489) bagi kenderaan Complete Knocked Down (CKD).

Sejak REP diperkenal pada 2011 hingga Ogos 2025, sebanyak 11,935 permohonan diterima daripada rakyat Malaysia di luar negara, dengan 7,487 permohonan diluluskan dan 4,919 individu telah kembali berkhidmat di tanah air.

Bagi menangani isu jurang gaji dan meningkatkan daya tarikan pekerjaan dalam negara, Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan TalentCorp turut menjalankan Projek Rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) bagi menilai kesan dasar tersebut terhadap kesejahteraan pekerja berdasarkan pengalaman, kelayakan dan kemahiran.

Di samping itu, inisiatif seperti Program FWA@Workplace (AKF) dan Anugerah Life at Work (Lawa), turut diperkenalkan bagi mewujudkan suasana kerja lebih fleksibel dan dinamik, selaras dengan perubahan landskap pekerjaan sejagat.

Kementerian menegaskan melalui pelaksanaan strategi bersepadu itu, kerajaan yakin fenomena penghijrahan bakat dapat dikurangkan dan Malaysia kekal berdaya saing dalam menarik serta mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg