Warga Malaysia yang bekerja di Singapura, terutama mereka dalam sektor pemanduan dan perkhidmatan sokongan, boleh mula mendaftarkan permohonan subsidi petrol RON95 melalui laman web khas bermula 16 Oktober.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) telah membangunkan laman web yang boleh diakses di pautan, budi95lesensg.jpj.gov.my/.
Encik Loke berkata langkah itu diambil selepas kerajaan menerima aduan dan maklum balas daripada warga Malaysia yang bekerja di Singapura, khususnya mereka yang terpaksa menggunakan Lesen Memandu Singapura (LMS) bagi mematuhi peraturan pekerjaan di Singapura.
Menurut Encik Loke, ramai antara mereka masih menetap di Malaysia dan memiliki kenderaan berdaftar di Malaysia, namun terpaksa melepaskan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk bekerja sebagai pemandu di Singapura, menyebabkan mereka sebelum ini tidak layak menikmati subsidi petrol RON95.
“Bagi membantu Kementerian Kewangan (MOF) menilai dan mempertimbangkan permohonan daripada kumpulan tersebut, MOT melalui JPJ menyediakan laman web khas untuk pendaftaran permohonan subsidi menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95),” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Oktober.
Jelas Encik Loke, antara syarat kelayakan utama yang akan dipertimbangkan adalah pemohon mestilah warga Malaysia; memiliki LMS yang masih sah; dan mempunyai permit pekerjaan sah di Singapura.
“Bagi warga Malaysia yang mempunyai LMS tetapi tidak lagi bekerja di Singapura atau tidak lagi tertakluk kepada keperluan peraturan domestik Singapura untuk memegang LMS, mereka boleh memohon semula LMM dengan terlebih dulu membatalkan LMS melalui prosedur sedia ada di Singapura.
“Permohonan mendapatkan semula LMM boleh dibuat di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan setelah disahkan bahawa tiada sekatan, penggantungan atau sabitan dikenakan terhadap LMS tersebut oleh pihak berkuasa Singapura,” katanya.
Menurut Encik Loke pemohon boleh menyemak status kelayakan masing-masing melalui laman web rasmi Budi95, selepas 14 hari daripada tarikh penghantaran permohonan.
“Untuk makluman, pertimbangan akhir ke atas setiap permohonan adalah di bawah bidang kuasa MOF, berdasarkan semua syarat yang telah ditetapkan di bawah program subsidi Budi95.
“Peraturan yang menetapkan Budi95 adalah hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia masih dikekalkan.
“MOT berharap langkah ini dapat membantu memudahkan urusan warga Malaysia yang bekerja di Singapura agar turut mendapat pertimbangan sewajarnya dalam menerima manfaat program subsidi bahan api negara,” tambahnya.
Bermula 30 September, kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95, yang membolehkan warga Malaysia pemegang LMM dan menggunakan kenderaan berdaftar Malaysia menikmati penurunan harga bahan api itu pada kadar bersubsidi RM1.99 ($0.61) seliter.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg