Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia, pemilik bangunan berunding bagi perkukuh akses ke stesen RTS

Jan 15, 2026 | 5:31 PM
Anthony Loke, RTS, Majlis Pelancaran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia, Rehda
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke (kiri), ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Institute Youth Initiative (Riyi) di Kuala Lumpur. - Foto KEMENTERIAN PENGANGKUTAN (MOT)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang berunding dengan pihak swasta, terutama pemilik bangunan di sekitar Stesen Bukit Chagar bagi mempertingkat akses dan keterhubungan pejalan kaki ke stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, menjelaskan usaha itu adalah sebahagian daripada pembangunan berorientasikan transit.

Tujuannya adalah memastikan pergerakan orang ramai ke stesen RTS lebih lancar, selamat dan tersusun.

Beliau berkata memilih pendekatan kerjasama strategik, bukan paksaan.

Kerjasama itu menggalakkan pemilik bangunan komersial, hotel, pusat beli-belah dan pejabat berhampiran agar menyepadukan struktur sedia ada melalui laluan pejalan kaki, jambatan penghubung, serta akses terus ke stesen.

“Kerajaan sedang berbincang dengan pemilik-pemilik bangunan bagi membuka dan menghubungkan bangunan mereka melalui laluan pejalan kaki yang bersepadu.

“Hal ini penting supaya orang ramai boleh bergerak ke Stesen Bukit Chagar dari pelbagai arah tanpa bergantung sepenuhnya kepada kenderaan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Institute Youth Initiative (Riyi) di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 15 Januari.

Menurutnya, penyepaduan itu turut merangkumi hubungan antara Stesen Bukit Chagar dengan Johor Bahru Sentral yang terletak sekitar 300 meter antara satu sama lain, bagi memastikan peralihan mod pengangkutan antara RTS, perkhidmatan tren dengan bas dapat dilakukan dengan mudah.

“Keterhubungan yang baik bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar stesen, malah berpotensi meningkatkan nilai hartanah dan daya tarikan bangunan terbabit.

“Apabila akses menjadi lebih baik, manfaatnya bukan sahaja dirasai pengguna pengangkutan awam, bahkan juga pemilik bangunan dan perniagaan di kawasan itu,” katanya lapor Harian Metro.

Encik Loke menambah, kerajaan berharap lebih banyak pihak swasta akan tampil bekerjasama bagi menjayakan usaha itu demi memastikan operasi RTS kelak berjalan dengan cekap serta menyokong pembangunan bandar Johor Bahru.

Di samping itu, kerajaan dijangka membentangkan satu Rang Undang-undang (RUU) baru di Parlimen dalam masa terdekat bagi membolehkan pelaksanaan konsep penempatan bersama Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) untuk RTS Johor Bahru-Singapura, ujarnya.

Terdahulu, Institut Rehda mengadakan acara kemuncak pada 15 Januari, CEO Series 2026, yang menghimpunkan lebih 400 pegawai kanan daripada kerajaan, kewangan, industri, akademi dan pembuat keputusan untuk memperincikan prospek ekonomi, keutamaan pelaburan dan cabaran tenaga kerja Malaysia dan Asean bagi 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg