Pasukan usaha sama projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, RTS Operations (RTSO) telah melakar pencapaian penting apabila berjaya melaksanakan ujian dinamik tren pertamanya di laluan utama RTS Link, pada 26 Disember.
Laluan utama merujuk kepada landasan yang digunakan oleh tren itu untuk operasinya.
Menurut RTSO, tren ujian itu berlepas dari Depoh Wadi Hana, melalui Stesen Bukit Chagar, Johor Bahru, bergerak di sepanjang jajaran jambatan dan tiba di sempadan antarabangsa dengan Singapura sebelum kembali semula ke depoh.
“Perjalanan sulung ini menandakan permulaan kepada siri ujian dinamik di bawah program ujian dan pentauliahan projek,” kata RTSO dalam satu hantaran di Facebook pada 28 Disember.
Menurut RTSO lagi, ujian itu telah disertai dan disaksikan jurutera daripada RTSO serta pihak berkepentingan dengan projek terbabit, termasuk Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.
“Ia mencerminkan kerjasama rentas sempadan yang kukuh di sebalik projek ini,” kata RTSO.
Menurut RTSO, sebelum ujian dinamik dijalankan, pemeriksaan keselamatan dan teknikal utama telah diselesaikan, termasuk pelepasan laluan, pengesahan sistem dalam tren dan kesiapsiagaan bekalan kuasa tarikan.
“Ujian awal akan dijalankan pada kelajuan rendah, dengan peningkatan secara berperingkat tertakluk kepada keperluan keselamatan yang ketat.
“Seiring kemajuan ujian, tumpuan kami kekal teguh kepada kesiapsiagaan operasi, dengan keselamatan sebagai teras dalam setiap langkah,” kata RTSO.
Sebelum ini pada 3 November, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, dilaporkan berkata projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di Johor Bahru, diyakini dapat disiapkan mengikut jadual selepas struktur bangunan ketiga-tiga komponen utama projek berkenaan siap sepenuhnya.
Menurutnya dengan perkembangan itu, set tren RTS sudah dihantar ke salah satu komponen iaitu Depoh Wadi Hana mulai pertengahan November, sebelum ujian percubaan pertama dimulakan pada pertengahan Disember 2025.
Pada 31 Oktober lalu, RTS Link dilaporkan melakar kejayaan penting apabila berjaya melaksanakan fasa akhir Ujian Integrasi Sistem di Luar Tapak (OSIT) di Singapura.
Menurut RTSO, OSIT ialah ujian menyeluruh yang menghimpunkan semua komponen utama seperti sistem tren, sistem isyarat, pintu skrin platform dan komunikasi, bagi memastikan semuanya bersepadu dan berjalan lancar sebagai satu rangkaian.
RTS Link dijangka memulakan operasi penumpang menjelang Disember 2026, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura.
Apabila beroperasi kelak, RTS Link akan menggunakan lapan set tren tanpa pemandu, setiap satu terdiri empat gerabak dengan kapasiti lebih 600 penumpang setiap tren.
RTS Link akan mempunyai kapasiti puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg