Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru membuka lembaran baru dalam sejarah sistem rel Malaysia, sekali gus menandakan era pengangkutan awam yang lebih pantas, cekap dan menyeluruh untuk rakyat di Semenanjung Malaysia.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook, berkata projek berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh mutu perkhidmatan rel negara.
Menurut beliau, kejayaan projek mega itu adalah hasil kerjasama erat Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dan SIPP-YT, yang bersama-sama memastikan pembangunan berjalan secara teratur serta memberi manfaat meluas kepada rakyat Johor dan seluruh negara.
“Projek ETS Gemas-Johor Bahru merupakan salah satu inisiatif penting kerajaan bagi menambah baik jaringan rel dari utara ke selatan Semenanjung dengan jajaran sepanjang 192 kilometer serta melibatkan pembinaan 11 stesen.
“Pelaksanaan landasan berkembar elektrik sepenuhnya membolehkan tren ETS beroperasi pada kelajuan 140 kilometer sejam dengan perjalanan antara Johor Bahru dengan Kuala Lumpur kini hanya mengambil masa kira-kira empat jam setengah, manakala perjalanan dari Johor Bahru ke Padang Besar pula sekitar 10 jam setengah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek berkenaan.
Menurut Encik Loke, pembangunan tersebut bakal menawarkan kesan sosioekonomi ketara termasuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan tidak langsung dalam sektor perniagaan, logistik, pengangkutan dan makanan di kawasan stesen baru.
Jajaran rel moden itu juga mampu meningkatkan daya tarikan Johor sebagai pusat industri, perdagangan dan perkhidmatan, khususnya kesalinghubungan yang lebih baik dengan Singapura.
“Selain itu, nilai hartanah di kawasan sekitar seperti Segamat, Kluang, Layang-Layang dan Kempas, dijangka meningkat seiring pertumbuhan aktiviti ekonomi serta kemudahan mobiliti rakyat yang semakin bertambah.
“Dengan tren lebih selesa, kerap dan cepat, rakyat kini mempunyai pilihan berdaya saing untuk mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” ujarnya.
Sementara itu, pada sidang media, Encik Loke mengumumkan perkhidmatan ETS dari KL Sentral ke JB Sentral akan mula beroperasi pada 12 Disember.
“Empat perjalanan sehari akan diperkenalkan, dua pada waktu pagi dan dua pada waktu petang, sebelum kekerapan ditambah mulai Januari dan Februari.
“Kerajaan juga menyasarkan operasi ETS mencapai tahap optimum menjelang Mac 2026, terutama bagi memenuhi keperluan musim Tahun Baru Cina dan Ramadan,” jelasnya.
Kerajaan tambah beliau, turut merancang memperkenalkan perkhidmatan penumpang antara Kulai dengan Johor Bahru, dengan kekerapan sehingga 16 perjalanan sehari bagi memudahkan pergerakan harian penduduk di koridor berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerajaan negeri Johor amat menghargai usaha Kementerian Pengangkutan menyiapkan projek itu lebih awal daripada jangkaan.
“Kerajaan negeri telah membantu menyelesaikan isu pengambilan tanah, setinggan serta penempatan semula rumah ibadah demi memastikan projek berjalan lancar.
“Projek mod pengangkutan lanjutan seperti jajaran Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) kini berada dalam perbincangan, dengan kerajaan negeri meminta jajaran Tebrau diberi keutamaan memandangkan 75 peratus kenderaan masuk ke pusat bandar Johor Bahru melalui laluan itu,” katanya.
Sebanyak 11 stesen ETS di Johor terletak di Segamat, Genuang, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Rengam, Layang-Layang, Kulai dan Kempas Baru.
Majlis perasmian projek itu disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sambil disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Stesen Kempas Baru, Johor Bahru, pada 11 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg