KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) perlu bersifat sukarela seperti mana ia dilaksanakan sejak 1974.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengekalan dasar sedia ada ini bermaksud ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
Katanya melalui sijil diperoleh itu, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.
“Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa pemain industri untuk memohon SPHM memandangkan ia boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis mereka,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Permohonan sijil halal dilaksanakan Jakim, Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).
Sebelum ini, timbul polemik dalam kalangan pengusaha makanan bukan Islam di Malaysia, selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mendedahkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Ahli Parlimen Seputeh, Cik Teresa Kok, dalam maklum balasnya berhubung cadangan itu dilapor berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Beliau dipetik mendakwa cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan untuk memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Dalam pada itu, Datuk Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal, berkata bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pembimbing usahawan di semua peringkat ditawarkan pelbagai insentif dan inisiatif.
Ia antara lain dalam bentuk latihan dan bimbingan serta geran dalam memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dipersijilkan halal.
“Jakim turut memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia bagi mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari.
“Statistik menunjukkan antara Januari hingga Julai lalu, sebanyak 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam tempoh ditetapkan. Usaha proaktif ini berupaya menjadi salah satu tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg